Pelancaran platform Gerakan Harapan Baharu (GHB) ditubuhkan oleh puak professional yang disingkir dalam Muktamar Pas ke 61, Jun lalu, ditakdirkan pada hari yang sama berlakunya insiden ‘rusuhan kaum’ di Plaza Low Yat, Bukit Bintang.
Insiden yang berpunca daripada tindakan gangster pencuri telefon bimbit itu berakhir dengan beratus-ratus penyokong Ketunanan Melayu merusuh dan memusnahkan perniagaan Cina di kompleks membeli belah berkenaan.
Kerajaan BN hilang kawalan terhadap rakyatnya. Insiden terkini menggambarkan pentadbiran negara diambil alih oleh kumpulan berhaluan kanan. Perkasa dan Isma menaikkan suhu kemarahan Melayu terhadap selain Melayu.
Manakala pertubuhan kebajikan Melayu seperti Pekida, tiga line dan sebagainya gagal mengawal anak-anak buah mereka daripada mencetuskan pergaduhan perkauman. Pergaduhan antara Melayu dan Cina pada 1980an misalnya lebih didahului retorik hidup Melayu dan Tanah Melayu.
Namun selepas kemaraan Pas sebagai parti mainstream Melayu maka pergaduhan sebagaimana yang berlaku di Low Yat turut disertai laungan takbir. Sedangkan takbir dilarang ketika marah dan ingin bergaduh dalam hal-hal dunia yang tidada kena mengena dengan agama.
Perjuangan baharu
Hilang kawalan dan vakum inilah yang perlu diisi oleh perjuangan Gerakan Harapan Baharu. Pas parti asal puak profesional itu telah tenggelam ke dalam perjuangan yang mengutamakan Melayu. Sedangkan bekas Mursyidul Am Nik Aziz Nik Mat melarang orang Islam mengutamakan perjuangan asabiyah perkauman.
GHB perlu menyedarkan Melayu mereka amat jauh ketinggalan berbanding bangsa Cina. Saham dan peluang yang diperuntukkan untuk mereka dibalun dan dirompak pemimpin Umno untuk sanak saudara dan para kroni.
Melayu amat cetek pemikiran dan buruk dalam pemahaman kehidupan. Mereka tidak akan marah kepada kerajaan BN selagi mana boleh membeli makanan, membayar sewa rumah dan memandu kereta Myvi atau proton.
Sedangkan dalam masa sama bangsa Cina mampu untuk bermewah-mewah dan bersenang lenang. Pemimpin Umno juga mempunyai gaya hidup setanding Cina.
Malah hari ini Melayu akan bersyukur jika mereka mampu makan maggi untuk sarapan pagi dan nasi campur pada tengah hari. Jika datang seruan memukul Cina maka mereka akan menyahutnya kerana bagi mereka Cina yang menyebabkan rezeki mereka terbatas.
Tahap pemikiran yang terlalu dangkal, bodoh sombong dan menyeleweng ini perlu diperbetulkan oleh Melayu GHB. Mereka profesional pelbagai bidang maka wajiblah memperkasakan minda Melayu agar menjadi bangsa yang dikagumi.
Melayu hanya politik
Melayu bukan sebagaimana yang diajar Umno atau Perkasa, Melayu adalah segala-galanya. Kebanggaan Melayu adalah diperintah Umno yang mengakui mewarisi Tanah Melayu.
Melayu juga perlu menjauhi fahaman agama NGO Isma yang mengutamakan asabiyah. Islam tidak pernah diturunkan kepada kaum Melayu. Di negara China ada 60 juta umat Islam berbangsa Cina. Islam adalah agama universal dan melarang bergaduh hanya kerana membantu seorang Islam mencuri telefon.
Orang Islam dimaafkan mencuri
Sejak kebelakangan ini semakin berkembang fatwa bahawa sekiranya orang Islam jahat dan zalim mereka tetap lebih baik berbanding kafir. Oleh itu, orang Islam dilarang menghukum sesama muslim dan melepaskan mereka jika persengketaan melibatkan orang kafir.
Prinsip ini diamalkan pada era 1980an dan sebelumnya. Pemahaman songsang itu dibanteras pada era Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pendidikan dan Timbalan Perdana Menteri (1982 – 1998).
Usaha itu disambung oleh Nik Aziz dan Fadzil Noor menerusi PAS sejak 1998. Namun hari ini, fahaman mengarut itu kembali menjadi dominan dan menguasai pemikiran Melayu. GHB bertanggungjawab untuk mendakwah dan membetulkan penyelewengan tersebut.
Sesungguhnya GHB diharapkan menjadi yang terbaik sebagai gerakan politik dan dakwah moderat. Pas telah tersudut ke dalam aliran yang menyenangi Umno. Maka GHB akan membuka dan merintis jalan baru kepada rakyat Malaysia beraliran sederhana pada masa depan.