PAS sudah tidak relevan lagi dalam landskap politik kini dan perlu melakukan pembaharuan, kata bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu.
Mohamad, yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB) merupakan cara membuat pembaharuan terhadap parti Islam itu supaya kekal relevan.
PAS masih menggunakan kaedah lama dalam berpolitik sedangkan rakyat berbilang kaum turut terlibat dalam proses membuat keputusan, katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran DAP Pulau Pinang di Kepala Batas, hari ini.
Beliau berkata GHB akan membuat penerangan di seluruh negara sebelum meneruskan proses pendaftaran dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dalam tempoh lebih sebulan lagi.
Isnin lepas, beberapa bekas pemimpin kanan PAS termasuk Mat Sabu melancarkan sebuah pergerakan, dikenali sebagai Gerakan Harapan Baru, yang dikatakan
bertujuan menyatukan semula parti politik pembangkang.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata beliau mengalu-alukan penubuhan GHB sebagai sebuah parti politik namun menafikan GHB adalah proksi DAP.
“Parti yang baru ditubuhkan itu harus memperjuangkan nasib rakyat Malaysia dan perlu fokus peningkatan ekonomi dan mampu mentadbir kerajaan dengan baik,” katanya