Pemimpin Umno Perak semakin banyak mengumpulkan projek untuk diri sendiri dan tidak melakukan khidmat terbaik kepada rakyat. hal itu menyebabkan pemimpin tertinggi parti itu menegur mereka.
Setiausaha, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Salman Hj Salleh melihat situasi itu adalah kesan dari kelemahn pimpinan Dr Zambry Kadir yang tidak berupaya mengawal pemimpin bawahan.
“Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) melihat kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamed, bekas Presiden Umno yang menyatakan bahawa Umno semakin lemah dan turut disokong oleh Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agung Umno Malaysia. Perkara ini dijelaskan lagi melalui Badan Perhubungan Umno Negeri Perak yang kini dipimpin oleh Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir yang dilihat gagal mengawal Ketua-ketua Umno Bahagian.
“Ianya termasuk pendedahan berkaitan Ketua-ketua Umno Bahagian yang hanya menumpukan kepada projek-projek di Kawasan Parlimen mereka sahaja serta kekayaan luar biasa ahli keluarga pimpinan Umno Bahagian. Pendedahan tersebut jelas menunjukkan Umno Perak yang dipimpin oleh Datuk Seri Zambry semakin tidak terkawal. Ini kerana Datuk Seri Zambry terlalu baru dan muda untuk menasihatkan Ketua-ketua Bahagian yang lebih senior dan berpengalaman daripada beliau.
“Bagi DPPN Pk, pendedahan tersebut jelas mengesahkan Perak masih di kuasai Pakatan Rakyat (PR) terutamanya PAS yang bakal menggantikan Umno menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 pada bila-bila masa sahaja. DPPN Pk yakin kemelut masalah dalaman Umno terutamanya di Perak akan memberikan kesan kepada Barisan Nasional (BN) Negeri Perak kerana Umno kini lemah dan tidak bermaya,” kata beliau.