Pemimpin Gerakan Harapan Baru (GHB), Khalid Samad menjelaskan NGO itu tidak dipengaruhi oleh parti lain dan perjuangan mereka di dalam Pas dahulu pun tidak dihasut oleh mana-mana pemimpin dari luar Pas.
Beliau mengulas kenyataan, Ahli Jawatankuasa PAS Zaharuddin Mohammad pada 16 Julai lalu mendakwa Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dan Dr Rahim Ghouse mencampuri urusan dalaman parti Islam itu berikutan sokongan Rafizi ke atas siri jelajah GHB.
“Harapan Baru sama sekali bukan menyentuh perlembagaan Parti PAS, ia hanya melibatkan bekas pimpinan PAS yang terdahulu yang mahukan perubahan dalam dunia politik,” demikian kata Khalid Samad ketika dihubungi Suara Pakatan Daily.
Menurutnya, GHB terdiri daripada Kumpulan Profesional PAS yang pernah memimpin PAS, gabungan NGO dan masyarakat Malaysia yang kebanyakkannya mahukan perubahan dari segi struktural sistem politik dalam negara ini.
“Sokongan Rafizi Ramli terhadap GHB adalah sangat wajar dan menepati masanya berikutan situasi politik tempatan mengalami krisis keyakinan dan kemampuan yang merisaukan, meyebabkan sebahagian ahli politik mencari alternatif yang terbaik bagi memulihkan kepercayaan rakyat yang sudah semakin berkurang,
“Kami kumpulan yang komited dan sentiasa mahukan perubahan untuk kebaikan masyarakat. Keahlian GHB pula terbuka kepada semua kaum dan bukannya terhad kepada ahli PAS seperti yang di gembar-gemburkan sebelum ini,” katanya lagi.