Gelombang Gerakan Harapan Baharu (GHB) dijangka bermula di sekitar Lembah Klang, mengulang sejarah gelombang reformasi Anwar Ibrahim pada tahun 1998 lalu.
Presiden GHB Muhammad Sabu berkata, GHB Wilayah Persekutuan akan menjadi penanda aras kebangkitan itu, sebagai penggerak utama aktiviti dan pusat maklumat. Beliau berkata demikian dalam sesi dialog pergerakan itu bersama aktivis di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, semalam.
Menurut Mat Sabu, penubuhan GHB adalah sebagai wadah baru politik dalam proses rekonsiliasi gerakan Islam terdahulu bagi memenuhi tuntutan ahli Pas yang mahukan perubahan terhadap landskap politik bersimpang-siur parti Islam tersebut.
“Saya menyeru semua ahli GHB yang terdiri daripada semua lapisan masyarakat supaya berkerja kuat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada sesiapa yang berminat tentang GHB dan lebihkan praktik dalam berpolitik berbanding idea teori semata-mata,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli menegaskan penubuhan GHB untuk mempertahankan kemenangan Pakatan Rakyat (PR) hasil dari tahaluf siyasi rakan komponen PR yang berjuang bersungguh – sungguh pada pilihan raya ke 13 lalu.
“Pendekatan GHB adalah menjernihkan kembali tahaluf siyasi bagi mempertahankan kuasa rakyat supaya kepercayaan masyarakat terhadap PR terus utuh tanpa sedikit pun akan terhakis,” katanya ketika sesi soal jawab berjalan.
Manakala Dr Dzulkefly Ahmad menjelaskan GHB memegang prinsip Islam progresif yang bersifat syumul merentasi kelompok masyarakat dan berteraskan pelembagaan negara secara sah demi melahirkan negara Islam dalam suasana masyarakat yang mengutamakan keadilan sosial dalam berbilang kaum.
“GHB seperti mana yang diperjelaskan sebelum ini adalah mewakili suara Islam yang baru dalam PR sebagai alternatif mengembangkan dakwah kepada bukan Islam yang berada dalam PR,” jelasnya.