KEADILAN amat bimbang tentang nilai mata wang Ringgit yang menyusut secara berterusan. Pada Mac 2015, ahli ekonomi Macquarie Research, PK Basu meramalkan nilai mata wang Ringgit Malaysia akan jatuh kepada tahap 3.95 bersamaan 1 dolar AS pada bulan September 2015.
Dr Suresh Ramanathan, ahli strategi pertukaran wang asing yang pernah bekerja di CIMB dan Bank Negara, pula menyatakan sekiranya mata wang Ringgit melebihi paras 3.83, ianya akan terancam berpanjangan. Pada hari ini, nilai Ringgit Malaysia berada di tahap 3.89 bersamaan dengan 1 dolar AS. Berdasarkan laporan-laporan kewangan tersebut, jelas nyata sentimen pasaran terhadap Ringgit adalah amat buruk.
Tambahan pula, beberapa akhbar melaporkan bahawa ramai rakyat Malaysia telah mula membeli dan menyimpan mata wang dolar Singapura. Ini disebabkan keyakinan rakyat terus terhakis akibat berita politik tentang skandal 1MDB.
Khususnya, KEADILAN berasa sangat bimbang mengenai berita bahawa pihak polis bercadang untuk menyiasat Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz. Pihak polis perlu membuat satu deklarasi penuh apakah asas penyiasatan yang dicadangkan. Adakah ia berkaitan dengan kononnya satu konspirasi untuk menjatuhkan Dato’ Sri Najib Razak daripada kuasa dan oleh itu, Gabenor Zeti boleh didakwa atas aktiviti-aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen dibawah seksyen 124 Kanun Keseksaan 2012.
Sekiranya tindakan menangkap Gabenor Zeti tidak dilakukan dengan ketelusan penuh dan mengikut prosedur dan proses perundangan, ini akan merupakan suatu tindakan yang tersangat bahaya pada masa mata wang Ringgit begitu lemah. Gabenor Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz mempunyai reputasi yang baik sebagai seorang Gabenor Bank Pusat dalam kalangan komuniti kewangan antarabangsa termasuk agensi penarafan (rating agencies).
Sekiranya tidak ada ketelusan penuh dan prosedur dan proses perundangan tidak diikuti, pasaran dunia akan membuat kesimpulan bahawa tindakan polis adalah bermotif politik. Ini akan memberi mesej yang tersangat buruk kepada komuniti kewangan antarabangsa dan akan terus menjejaskan nilai mata wang Ringgit.
PKR menuntut agar Dato’ Sri Najib Razak menghentikan semua penyiasatan terhadap penyiasat 1MDB dan memberi tumpuan penuh kepada pengurusan ekonomi negara. Kami menggesa beliau untuk berhenti mengabaikan ekonomi dan menyengsarakan rakyat demi mempertahankan kedudukan politik beliau sendiri.
Wong Chen adalah Ahli Parlimen Kelana Jaya serta Pengerusi Biro Pelaburan dan Perdagangan PKR