Syarikat pelaburan Mara Inc iaitu anak syarikat Majlis Amanah Rakyat (Mara) menggunakan “syarikat berlapis” di 3 negara berbeza untuk melindungi pembelian 2 hartanah di Australia, kata National Oversight and Whistleblowers (NOW), hari ini.
Pengarahnya, Rafizi Ramli yang juga setiausaha agung PKR berkata bagi pembelian hartanah di 333 Exhibition Street dan 51 Queen Street, Mara menggunakan anak syarikat mereka di Labuan, Singapura dan Australia dalam satu rantaian transaksi yang panjang untuk membelinya.
Bagi kedua-dua transaksi, nama syarikat berbeza, tetapi rantaian itu kekal sama; ia bermula di Labuan dan berakhir di Australia.
Akhbar Australia The Age mendedahkan mengenai pembelian The Dudley oleh Mara baru-baru ini, mendakwa “sogokan” untuk pegawai Mara dibuat menerusi sebuah syarikat Singapura.
“Penggunaan syarikat berbeza membangkitkan curiga. Anda tertanya-tanya mengenai 2 pembelian itu, kedua-duanya melalui Singapura,” kata Rafizi.
Bagi hartanah 333 Exhibition Street, Mara Inc didakwa membuat pembelian menerusi Powerwell Holdings Limited, berdaftar di Labuan, diikuti syarikat Singapura Carlton Garden Lte Ltd, dan Australia iaitu Peters Equity Pty Ltd, semuanya dimiliki oleh Mara.
Pembelian hartanah 51 Queen Street dibuat menerusi Vortex Holdings Limited di Labuan, Marinn Property Pte Ltd di Singapura dan Queville Pty Ltd di Australia.
Secara keseluruhan, untuk pembelian 4 hartanah di Melbourne termasuk Dudley dan 746 Swanston Street, Mara menggunakan 8 syarikat berbeza.
Bagi Dudley dan Swanston, Mara Inc menggunakan syarikat pesisiran pantai di Kepulauan British Virgin dengan nama Thrushcross Land Holdings sementara Mara Investment (Australia) Pt Ltd adalah pengurus aset untuk semua hartanah itu.
Rafizi berkata, struktur semua urus niaga ini sepatutnya mendapat perhatian Pengerusi Mara Tan Sri Annuar Musa ketika mengambil alih jawatan itu pada 2014.
“Tidakkah beliau sedar perkara ini bermasalah hanya dengan melihat kepada strukturnya saja?” soal Rafizi.
Beliau turut mempersoalkan mengapa siasatan terhadap pembelian hartanah itu dibuat lebih awal, walaupun Annuar dan pasukannya dikatakan diberi maklumat mengenai hartanah yang dibeli itu pada 20 Mei tahun lalu.
“Mengapa beliau tunggu hingga terlewat begini untuk laksanakan siasatan?” katanya.
Annuar sebelum ini berkata pihak dalaman Mara menyiasat mengenai pembelian Dudley sejak 2 bulan lalu.
Rafizi berkata, pendedahan akan dibuat beberapa hari lagi akan menunjukkan hasil sewa itu tidak membawa pulangan yang dijangka untuk hartanah berkenaan dan semuanya itu bukan “pelaburan berbaloi”.
Rafizi dan NOW akan meneruskan siri pendedahan mereka berkaitan pembelian hartanah Mara dengan sidang media lain esok pagi.