Sasterawan Negara Datuk A Samad Said yang ditakuti pemerintah kerana menyokong tunjuk perasaan Bersih semalam melahirkan rasa kecewanya terhadap sesetengah golongan seniman yang tidak berani bersuara menyatakan kebenaran di majlis pelancaran buku terbaharu kompilasi kartun Zunar Even A Pen Has a Stand, di Dewan Perhimpunan Cina Selangor.
Menurut Samad, sikap seniman yang tidak mempedulikan persekitaran yang semakin kejam membuat pemerintah semakin berani bertindak melanggar hak asasi manusia. Katanya, seniman sewajarnya berani menyatakan sikap walaupun dianggap penentang oleh pemerintah. Hanya dengan cara itu nilai-nilai demokrasi dapat ditegak dan diperkasakan
“Seniman sama ada kartunis, sasterawan, dramatis sangat jarang mengambil sikap. Kita selesa jadi golongan ‘carma’ atau cari makan. Kita sedia untuk tidak bersikap. Inilah sebabnya segala kemungkaran terus membesar. Tetapi eloknya, masih ada sekelompok seniman yang menyatakan sikap. Yang tahu kuning itu murni dan golongan seniman ini mula diganyang,”katanya dalam nada sinis disambut tepukan gemuruh kiri-kira 400 pendengar yang hadir.
Tambah Samad, pihak pemerintah dan polis tidak sewajarnya menyekat sebarang tunjuk perasaan aman kerana hak itu telah termaktub di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Sebarang pencabulan peruntukan itu hanya akan menyebabkan rakyat tidak lagi menghormati pemerintah dan kesannya berlakulah anarki.
“Saya kira kalau terjadi pertelagahan, saya lebih salahkan polis. Polis tahu beberapa bulan lalu mereka telah diminta ruang untuk penganjuran demonstrasi Bersih namun polis sengaja tidak membenarkan. Bukan salah Ambiga meneruskan kerana dia telah meminta
“Anehnya, di sini tiba-tiba ditimbulkan isu komunis. Dengan itu dihidupkan undang-undang lama (ISA), boleh ditahan tanpa soal-jawab, ini kekejaman namanya. Dalam demokrasi semua suara harus dipertimbangkan, tetapi tiba-tiba kita tidak boleh bercakap. Warna kuning pun dia takut, tidak mahu berunding, itu sudah membunuh demokrasi. Namun bagi saya setiap kekejaman pasti mempunyai tarikh luputnya,”tegas Samad.
Beliau mengingatkan golongan seniman agar terus berani menyatakan pendirian walaupun ditekan. Hanya dengan cara itu sahajalah demokrasi akan lebih terbela di negara ini.