Segelintir pihak dalam Pakatan Harapan tidak senang Datuk Seri Anwar Ibrahim diangkat sebagai calon perdana menteri Malaysia sekiranya gabungan itu memenangi pilihan raya umum ke 14 kelak.
Namun, hakikatnya Anwar adalah seorang tokoh yang tiada galang-gantinya dalam Pakatan. Buktinya PKR kini bergolak akibat dakwaan Setiausaha Agungnya Rafizi Ramli terburu-buru mahu Pakatan Harapan ditubuhkan.
Menurut sumber yang rapat dengan parti itu, kem Timbalan Presiden Azmin Ali tidak bersetuju Pakatan wujud tanpa melibatkan Pas. Sebaliknya, presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah bertegas tidak mahu menunggu lebih lama untuk merealisasikan penubuhan gabungan politik baharu.
Puak yang tidak puas hati cuba memanggil mesyuarat khas pada awal bulan ini bagi mengambil tindakan ke atas Rafizi yang didakwa tidak cermat mengendalikan isu gabungan pembangkang.
Menurut sumber itu lagi, terdapat pemimpin PKR yang tidak bersetuju Anwar diangkat sebagai calon PM. Namun mereka tidak pula memberikan alasan yang munasabah.
Menurut mereka, Anwar yang telah terbukti berjaya mempersatukan Pas dan DAP pada 2006 hingga 2008 dilihat tidak relevan dalam perkembangan politik semasa. Sedangkan hanya untuk menubuhkan sebuah gabungan politik baru, pemimpin PKR bercakaran.
Majoriti pemimpin PKR juga tidak bersetuju penantian lebih lama memujuk Pas yang telah ‘berbaik-baik’ dengan Umno untuk menjadi rakan penting Pakatan. Bagi mereka Pas boleh menjadi sekutu tidak rasmi kemudian.
Namun puak yang berkepentingan dalam kerajaan Selangor berkeras Pas mesti dijadikan sekutu utama. Bagaimanapun, pihak itu tidak pula mendedahkan ‘dateline’ Pas bersetuju sertai Pakatan atau bentuk pujukan yang sedang diusahakan.
Mereka lebih tertumpu kepada alasan gentar kehilangan undi ahli Pas. Sedangkan menurut sumber, dalam Mesyuarat Meja Bulat pada 22 September lalu, Presiden Amanah Mohammad Sabu berulang kali menegaskan parti beliau mampu mendapatkan 100,000 keahlian menjelang hujung tahun ini.
Satu rekod yang luar biasa jika dibandingkan dengan DAP yang ditubuhkan sekitar 1960an dan hanya mempunyai 300,000 ahli selepas enam dekad bergerak dalam politik.
Bagaimanapun, diharapkan Presiden parti Dr Wan Azizah mampu mendamaikan pergolakan yang berlaku dan berupaya mengajak Pas menjadi sekutu tidak rasmi Pakatan sebagaimana amanat Anwar disebalik tirai besi; Pas perlu dilibatkan bersama dalam gabungan baharu.