Kurang 24 jam selepas Pas mengumumkan mereka berjaya menganjurkan himpunan Fastaqim di Kota Bharu, Kelantan semalam, penyokong parti saingan utama; Parti Amanah Negara, mula melancarkan serangan balas.
Beberapa poster dimuat naik di laman sosial whatsapp dan facebook membandingkan himpunan Fastaqim 2015 dan Himpunan Hijau di Kedah pada 2012 menjelang pilihan raya umum ke 13 lalu.
Himpunan Hijau Kedah yang dianjurkan Pas ketika itu juga mengumpul khalayak 60,000 sebagaimana Fastaqim yang mengembeleng penyokong Pas dari seluruh negara. Hasilnya, 10 bulan kemudian kerajaan Pas Kedah tumbang di tangan BN.
Bagi penyokong Amanah, masalah di Kelantan seperti mangsa banjir tahun lalu yang belum menerima kediaman selesa dan isu pembalakan adalah bukti kelemahan kerajaan Pas. Isu itu sekiranya dibiarkan berlarutan mengikut cara pengendalian pentadbiran MB Ahmad Yaakob ketika ini dikhuatiri akan menyebabkan Kelantan tumbang ke tangan BN dalam PRU akan datang.
Isu panas sebelum ini dibangkitkan oleh bekas exco Datuk Husam Musa berhubung pembalakan yang tidak telus; kelemahan Kompleks Perkayuan Kelantan dan yang terbaharu mengenai caruman tertunggak guru Yayasan Islam Kelantan kepada Biro Angkasa, Bank Islam, Tabung Haji, KWSP dan sebagainya tidak mampu dijawab dengan sempurna oleh kerajaan negeri.
Masalah tersebut tidak boleh ditutup dengan satu himpunan sahaja. Pas juga dikatakan tidak mampu menganjurkan himpunan sebesar itu di luar Kelantan. Percubaan menyaingi himpunan 1 Mei anjuran Pakatan Rakyat di Kuala Lumpur dengan menganjurkan himpunan Hindar di Padang Merbok hanya berhasil menghadirkan 3,000 penyokong sahaja.
Prestasi Pas akan diuji dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak tahun hadapan. Amanah akan meletak calon di beberapa kerusi yang mana Pas bertanding sebelum ini.
Presiden Parti Rakyat Sarawak Tan Sri James Masing sebelum ini gentar dengan formasi barisan kepimpinan Amanah Sarawak yang menampilkan bekas Pengarah Pilihan Raya Pas negeri itu Mohamad Fidzuan Zaidi sebagai Pengerusi Amanah Sarawak dan seorang Dayak Kristian William Mangor sebagai timbalan. Parti Pesaka Bumiputra pula menyifatkan gabungan pelbagai kaum dan agama dalam Amanah lebih dipercayai masyarakat tempatan dan mampu menyaingi parti Ketua Menteri Adenan Satem.
Apa pun, keputusan PRN Sarawak akan memperlihatkan kekuatan atau kelemahan sebenar Pas. Apakah Pas mampu bertapak di DUN Beting Maro yang telah dua kali cuba ditawan dan kalah dengan majoriti kecil dalam Pilihan Raya Negeri 2006 dan 2011.
Sekiranya tidak dan Amanah yang dikatakan boleh memenangi sekurang-kurangnya dua kerusi Berjaya melakukannya maka tidak dapat dielak gelombang tsunami penghijrahan ahli Pas ke Amanah akan berlaku pada 2016 dan seterusnya.