ULASAN: Dr Yusof Al-Qadhawi dalam bukunya yang bertajuk “Min Fiqh Ad-Daulah Fil Islam”, Terbitan Dar As-Syuruq, Cetakan Tahun 1997, muka surat 151-154 menjelaskan seperti berikut:
1. Adalah harus menubuhkan pelbagai parti Islam dalam sesebuah negara islam, yang setiap satunya memiliki ciri-ciri pemikiran, metodologi dan pendekatan politik yang berbeza-beza. Setiap parti islam mestilah disokong dengan hujjah-hujjah dan riwayat-riwayat yang sahih dalam tindakan mereka. Oleh itu sesiapa sahaja boleh menyokong mana-mana parti islam yang telah ditubuhkan mengikut keyakinan mereka masing-masing. Sesiapa pun boleh menolak jika didapati ada parti lain yang lebih baik.
2. Pelbagai parti dalam bidang politik adalah sama seperti pelbagainya mazhab dalam bidang fekah. Perbezaan pelbagai mazhab tidak boleh dielak disebabkan setiap madrasah pemikirannya memiliki dasar-dasarnya yang khusus di dalam memahami syariat dan mempunyai perbezaan cara mengeluarkan hukum daripada dalil-dalilnya yang komprehensif. Oleh kerana parti politik islam juga mengambil daripada pelbagai mazhab yang berbeza aliran pemikirannya ini, maka cara, pendekatan dan metodologinya juga tidak sama. Maka wajar berlakunya kepelbagian parti politik.
3. Terdapatnya parti politik yang berpendapat bahawa Syura itu bersifat mulzimah (wajib dipatuhi keputusannya) dan terdapat juga yang berpendapat Syura itu hanya sekadar Mu’limah(hanya sekadar memaklumkan pendapat masing-masing dan ketua tidak wajib mengikut) . Sudah pasti pertembungan ini memberikan keputusan yang berbeza dalam mengambil tindakan politik.
RUMUSAN
1. PAS dan GHB memiliki perbezaan itu. Antara yang terbesar ialah PAS mahu mendahulukan perlaksanaan hukum syariah terutamnya hudud dalam negara sebagai indikator penting menepati ciri-ciri parti islam mengikut keyakinan dan kefahamannya. Mereka ada hujjah dan riwayat-riwayat yang jelas mengenai pendirian tersebut. Manakala GHB pula juga mahu melaksanakan syariat hudud dalam konteks yg luas iaitu mahu mendahulukan isu-isu kebajikan, memberikan kehidupan selesa kpd rakyat, membentuk kerajaan yang amanah dengan membenteras rasuah, penyelewengan dana negara serta yang berkaitan isu rakyat dan orang awam, barulah melaksanakan hukum Qanun Jenayah tersebut. GHB berpendapat, bahawa melaksanakan isu kebajikan dan menentang penyelewengan itu merupakan asas penting dalam pembentukan sebuah jemaah dan ummah yang menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mereka juga memiliki hujah yang konkrit dan bukannya sebarangan meski pun hujah itu tidak popular di kalangan ahli PAS.
2. PAS lebih mesra dakwahnya kepada orang melayu dengan sidikit tambah nilai kepada non-muslim yang dimainkan peranannya oleh Dewan Himpunan Penyokong Pas. GHB pula mesra kepada orang melayu, mahu merapatkan jurang di kalangan pelbagai bangsa dan warna kulit dan sedia bekerjasama dengan sesiapa yang berlainan ideologi dalam menjayakan penolakan kepada kezaliman. Oleh itu PAS dan GHB perlu fokus dalam bidang masing-masing disebabkan setiap mereka mahu melaksanakan islam. PAS fokus kepada negeri-negeri Pantai Timur manakala GHB di negeri-negeri pantai barat.
3. Perbezaan yang ada akan menjadi pelengkap satu sama lain. Apa yang tiada pada GHB ditampung oleh PAS dan apa yang tiada pada PAS ditampung oleh GHB ini disebabkan masing-masing mahu mendaulatkan islam.
Sekian.
Ust Zul hilmei Mohamad Rohani,
Ketua Urusan Ulamak Pas Kawasan Batu Pahat.