Amanah tidak akan menyertai perhimpunan besar-besaran pada 4 Disember depan bagi menzahirkan keprihatinan masyarakat Malaysia berhubung isu Rohingya walaupun dipelawa Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Setiausaha agungnya, Anuar Tahir berkata penolakan itu dibuat kerana ia melihat perhimpunan tersebut bukan bertujuan menentang kekejaman kerajaan Myanmar sebaliknya lebih kepada kepentingan politik.
Katanya, jika kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak mempolitikkan himpunan tersebut sudah pasti usul membincangkan isu Rohingya tidak akan ditolak di Parlimen.
“Kita (Amanah) mengadakan siri demonstrasi sejak minggu lepas di masjid seluruh negara. Sedangkan di Parlimen kita membawa usul, untuk bincang masalah kekejaman dan mengutuk kerajan Myanmar tetapi ditolak speaker.
“Jadi apa makna himpunan yang perdana menteri dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang nak pergi itu? Masa kita ajak ke himpunan Bersih 5 menuntut pilihan raya bersih, presiden PAS tidak turun malah menghalang ahli daripada pergi.
“Kalau betul kerajaan nak tunjuk serius keprihatinan kepada masyarakat Rohingya, duta kita di Myanmar perlu dipanggil pulang dan arah duta Myanmar di Malaysia balik. Saya lihat ia lebih kepada untuk berpolitik nak lawan himpunan sebelum ini (Bersih). Kita harap BN jangan banyak sangat berpura-pura,” katanya kepada FMT.
Terdahulu, Zahid dilaporkan berkata satu perhimpunan besar-besaran dirancang pada 4 Disember bagi menzahirkan keprihatinan masyarakat Malaysia berhubung isu Rohingya. Ia turut disertai perdana menteri dan presiden PAS, malah turut mempelawa parti lain seperti PKR dan Amanah.
Sementara itu, berbeza pula dengan PKR yang akan mempertimbangkan pelawaan Zahid namun menunggu surat jemputan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
“Kita sudah mengambil tindakan mengutuk kekejaman yang berlaku kepada rakyat Rohingya, malah Umno sebelum ini bermati-matian mempertahankan rejim ini di mana mereka menjemput Myanmar masuk Asean, malah saya sejak awal menentangnya.
“Bagaimanapun, saya akan semak dulu sebelum buat keputusan berhubung jemputan (Zahid) dan kami masih menunggu surat memandangkan perhimpunan itu selaras dengan perjuangan kita,” kata Naib Presiden PKR, Tian Chua.
Pendirian PKR itu seiring dengan pendirian Setiausaha Publisiti DAP Anthony Loke yang turut menunggu surat jemputan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.
Bagi PPBM pula, ia menyambut baik pelawaan itu biarpun mendahului Umno dalam menyatakan solidariti kepada masyarakat Rohingya.
“Bagi pihak srikandi PPBM, saya menyambut baik pelawaan Zahid yang dibuat hari ini. Ia menunjukkan beliau seorang pemimpin berjiwa besar walaupun PPBM,” kata Anina Saadudin, ketua Wanita PPBM.
“PPBM mengutuk sekerasnya kekejaman dilakukan ke atas bangsa Rohingya. Pengerusi kami, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah pemimpin Malaysia pertama menyatakan rasa hatinya ke atas kekejaman ini,” katanya.