KENYATAAN MEDIA: Pertubuhan Kesedaran Pengguna Perak (PENYEDAR) meminta Kerajaan Negeri Perak menyediakan senarai kepentingan utama semua aspek sebelum Projek Pembangunan Pusat Peranginan Bukit Larut (PPBL), Taiping diteruskan terutamanya berkaitan Projek Pembangunan Sistem Kereta Kabel.
Isu utama tentang geografi Bukit Larut adalah merupakan kawasan tadahan air secara statistiknya daripada Lembaga Air Perak (LAP) iaitu seluas 21.53 kilometer persegi dikhaskan sebagai kawasan tadahan air di situ dan jika berlaku apa-apa gangguan di dalam kawasan tersebut atau kawasan-kawasan berdekatannya ianya akan memberi kesan buruk kepada bekalan air serta ekosistem sekitarnya.
Sebagai contoh yang terbaru, pada 5 Jun 2015 yang lalu telah berlaku hakisan tanah kedua dalam masa beberapa hari selepas jalan sepanjang 2.5 meter menuju ke Bukit Larut runtuh dan manakala sebelum ini di dalam pembinaan sebuah menara komunikasi telah menyebabkan air berlumpur di kawasan tadahan untuk beberapa bulan telah berlaku. Ini kerana jika kawasan tadahan air terjejas, bekalan air minuman di Utara Perak akan terjejas teruk. Dan akan berlaku cerun yang tidak stabil kerana menurut kajian cerun, Bukit Larut direkodkan telah kehilangan tanah pada keadaan 150 tan / hektar / tahun dan manakala angka ini menjadikan Bukit Larut tidak sesuai untuk pembangunan struktur.
Manakala kepada kedudukan rizab hutan di Bukit Larut pula adalah mencemaskan dengan merujuk pada tahun 1910 seluas 7,130 hektar telah dikelaskan di bawah kategori ini. Pada tahun 1962 pula, hanya tinggal seluas 2,747 hektar hutan sahaja di Bukit Larut diwartakan semula sebagai kawasan rizab hutan. Isu sampingannya pula adalah berkaitan kebimbangan peningkatan sisa pepejal oleh kerana aliran kedatangan pelancong di sana nanti. Sudah tentu pihak kerajaan negeri perlu memikirkan tentang kebersihan dan pengurusan sisa pepejal yang akan meningkatkan kos pengurusan nanti. Selain itu, isu aliran pergerakan manusia yang akan memberikan kesan kepada alam sekitar serta haiwan (fauna) yang akan memberi kesan teruk kepada ekosistem keseluruhannya.
Projek PPBL ini tercetus pada tahun 1997 setelah Tan Sri Dato’ Seri Diraja Ramli Ngah Talib, bekas Menteri Besar Negeri Perak ketika itu mengumumkan kos projek yang menelan belanja RM 200 Juta tersebut. Ketika itu, telah ada bantahan daripada Persatuan Pengguna Taiping dan Education and Research Association for Consumers, Malaysia (ERA Consumer Malaysia) serta turut diperjuangkan oleh Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia atau Federation of Malaysian Consumer Associations (FOMCA) sehingga menerbitkan sebuah Kajian Kitab Ekologi pada tahun tersebut. Manakala pada 6 Mei 2007 pula, Tan Sri Dato Seri DiRaja Haji Mohammad Tajol Rosli Tan Sri Mohamed Ghazali memaklumkan sebuah syarikat swasta yang mengendalikan sistem kereta kabel di Langkawi, dilaporkan menyatakan minat untuk mengendalikan sistem yang sama di Bukit Larut yang menelan belanja yang dianggarkan RM 60 Juta.
Manakala pada 15 Januari 2009 pula, Kerajaan Negeri Perak telah meluluskan secara prinsip pembinaan sebuah sistem kereta kabel yang bernilai RM 60 Juta di Bukit Larut. Dan pada 23 Jun 2015 yang lalu pula Kerajaan Negeri Perak menjelaskan bahawa projek tersebut dianggarkan bernilai RM 65 Juta tetapi di dalam masa yang sama turut menyatakankan bahawa jumlah sebenar masih belum dimuktamadkan lagi. Pihak kerajaan negeri juga akan meminta bantuan kewangan daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) tetapi jumlah dan bentuk pembiayaan masih sedang diusahakan. Perkara ini jelas setelah 18 tahun perancangan projek PPBL yang mula pada tahun 1997 sehingga kini masih belum meyakinkan.
Jika dilihat pula melalui Laporan Ketua Audit Negara tahun 2012 yang lalu, menjelaskan bahawa projek PPBL ini akan terus mengalami kerugian berikutan pihak Kerajaan Negeri Perak masih gagal meneruskan apa yang telah dipersetujui semenjak Mei 2010 yang lalu. Walaupun menyedari satu perbelanjaan lebih kurang RM 10.5 Juta atau lebih telah disalurkan oleh Kementerian Pelancongan melalui RMK-9 semenjak tahun 2006 lagi termasuklah Kerajaan Negeri Perak yang turut menyalurkan RM 125 Ribu pada tahun 2011 yang lalu namun masih tidak membuahkan hasil dan menyifatkan projek ini tidak mencapai okjektifnya. Projek yang bernilai hampir RM 65 Juta ini tidak mampu diteruskan berikutan kegagalan mendapatkan pinjaman yang sepatutnya. Ianya juga gagal dibantu oleh kerajaan negeri untuk mendapatkan pinjaman dan kerajaan negeri turut menolak permohonan pinjaman daripada Syarikat Taiping Cable Car Sendirian Berhad sebagai syarikat swasta yang mengendalikan projek sistem kereta kabel tersebut.
Jika dinilai seawal projek ini dibangunkan melalui RMK-9 di bawah kerajaan negeri pada tahun 2006 yang diperuntukan oleh Kementerian Pelancongan sebanyak RM 6 Juta melalui Majlis Perbandaraan Daerah Taiping (MPT) masih dilihat tidak bermaya. Pada tahun 2007, Kementerian Pelancongan sekali lagi memperuntukan RM 4.43 Juta kepada kerajaan negeri bagi tujuan pembinaan bangunan asrama di sana. Dan pada tahun 2011 yang lalu pula, kerajaan negeri telah menyalurkan RM 125 Ribu kepada Pejabat Daerah dan Tanah Larut, Matang dan Selama (PBT LMS) sedangkan projek ini merugikan. Sudah tentu penilaian umum melihat kewajaran projek ini atas dua faktor iaitu isu alam sekitar dan yang utamanya juga adalah isu kewangan yang menunjukkan kegagalan pihak kerajaan negeri mencari sumber kewangannya untuk meneruskan projek tersebut sehingga kini.
PENYEDAR meminta agar kerajaan negeri menghentikan dahulu status projek ini dan dengan segera menubuhkan satu Jawatankuasa Khas bagi meneliti dan mengkaji pembangunan projek tersebut di Bukit Larut termasuklah perancangan pembinaan kereta kebal di sana terlebih dahulu. Keutamaan agar satu penyelesaiaan yang mengharmonikan pembangunan di Bukit Larut termasuklah isu alam sekitar terjamin dan selamat serta pusat tadahan air yang penting di Bukit Larut supaya dapat di atasi sebaik-baiknya. Perlu juga mengambil kira agar kerajaan negeri membentuk satu Jawatankuasa Siasatan Khas bagi menyiasat kelemahan dan jika berlaku penyelewangan di dalam projek ini bagi menyelesaikan faktor-faktor berbangkit di masa akan datang kelak.
HAJI ASMUNI AWI
Pengerusi,
Pertubuhan Kesedaran Pengguna Perak.