Cabang pelaburan Majlis Amanah Rakyat (Mara), Mara Inc, mengisytiharkan harga belian yang lebih tinggi dalam taklimat rasminya untuk hartanah Australia ke-empat di Melbourne, walaupun membayar RM63 juta kurang dari itu, kata National Oversight and Whistleblowers (NOW) hari ini.
Pengarahnya Rafizi Ramli berkata, Mara memberikan taklimat kepada pimpinannya mengenai pembelian 746 Swanston Street pada harga RM138 juta, tetapi sebenarnya, ia hanya membayar sekitar RM75 juta untuk hartanah itu.
Rafizi berkata ini berdasarkan taklimat rasmi Mara yang diadakan di Melbourne pada Mei tahun lepas, berbanding dengan senarai jualan di laman web Australia untuk hartanah tersebut pada 2012, apabila pembelian itu dibuat.
“Besar kemungkinan jumlah ini adalah rasuah kerana semua wang yang diluluskan Mara tidak digunakan untuk membeli hartanah itu,” kata Rafizi pada satu sidang akhbar.
NOW sebelum ini berkata, Mara Inc juga membayar melebihi kadar pasaran dalam pembelian dua hartanah lain di Melbourne daripada syarikat yang tidak diketahui.