Walaupun kini harga minyak RON95 ialah RM1.95 seliter namun harga barangan runcit terutamanya barang dapur masih tinggi. Peniaga barang runcit diberitakan enggan menurunkan harga, sebagaimana dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris bertarikh 3 September lalu.
Alasan yang digunakan oleh peniaga ialah mata wang dolar Amerika Syarikat berada pada paras yang terlalu tinggi, iaitu telah melebihi RM4.10 untuk AS$1.
Seorang peniaga di Brickfields, KL yang enggan dikenali memberitahu sekampit kacang dhal yang dahulu berharga RM185 pada bulan yang lalu kini sudah mencecah RM225 dan barang dapur seperti serbuk kari, kayu manis dan lain-lain barangan dapur yang kering sudah mengalami kenaikan sebab ia diimpot dengan menggunakan mata wang Amerika Syarikat.
“Pada tahun ini semua barang dapur telah mengalami kenaikan dua atau tiga kali setakat ini,” ujar beliau.
Seorang lagi peniaga barang dapur di Jalan Petaling, Kuala Lumpur juga berkata bahawa beliau tidak mampu menurunkan harga barang walaupun harga minyak sudah turun kerana barang dapur seperti bawang putih dan bawang merah yang besar dan kecil diimpot dengan menggunakan mata wang dolar.
Beberapa lagi orang peniaga barang runcit bersetuju bahawa ubi kentang, lada kering dan semua jenis barang dapur yang diimpot telah menjadi mahal disebabkan oleh kelemahan ringgit. Justeru, mereka telah menggesa kerajaan supaya segara mengambil langkah untuk membaik-pulih keadaan ekonomi negara.