Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama digesa untuk membatalkan semua pertemuan dan rundingan bersama Datuk Seri Najib Razak sehingga siasatan yang dibuat Jabatan Keadilan Amerika Syarikat terhadap Perdana Menteri selesai.
Gesaan itu disuarakan gabungan Pakatan Harapan (PH) secara bersama melalui Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai dan Timbalan Presiden AMANAH, Salehuddin Ayub.
Keperluan mengenai perkara itu dibuat bagi menggesa rundingan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) digantung terlebih dahulu bagi menjamin kepentingan hubungan antarabangsa Malaysia dan Amerika Syarikat.
“Sewajarnya kerajaan Amerika Syarikat perlu menggantung kesemua rundingan bersabit Perjanjian TPP dengan Datuk Seri Najib Razak untuk mengelakkan persepsi bahawa konflik kepentingan yang timbul akibat siasatan itu.
“PH juga mengingatkan Najib supaya tidak menjadikan tekanan penyiasatan pihak Amerika Syarikat terhadap beliau ini sebagai alasan untuk menandatangani Perjanjian TPP yang membelakangkan kepentingan dan kedaulatan negara,” kata Wan Azizah dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN hari ini.
Beliau berkata lagi, proses rundingan tersebut boleh diteruskan sekiranya Perdana Menteri telah menyelesaikan segala krisis dan dakwaan membabitkan dakwaan penyelewengan serta rasuah sebagaimana yang didakwa media antarabangsa itu.
“Hanya selepas Najib menyelesaikan masalah krisis kredibiliti dan isu-isu berkait dengan tuduhan penyelewengan 1MDB barulah sebarang rundingan yang melibatkan kedaulatan negara boleh diteruskan,” tegasnya lagi.
Laporan akhbar The New York Times pada 21 September 2015 sebelum ini mendedahkan dakwaan mengenai rasuah Najib kini sedang diteliti Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (Justice Department).
Ini adalah kali pertama dalam sejarah negara ini apabila seorang Perdana Menteri disiasat oleh sebuah negara asing atas tuduhan jenayah dan penyelewengan.
Namun kata Azizah, pendedahan mengenai perkara ini jelasnya telah memberikan gambaran yang buruk terhadap tampuk kepimpinan negara kini yang diterajui seorang Perdana Menteri yang korupsi.
“Ia membawa kesan yang besar kepada kebebasan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat selain dari menjejaskan imej Malaysia di mata dunia yang membawa kesan buruk kepada sentimen pelabur terhadap Malaysia,” katanya.