Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada 1 Disember lalu mencipta sejarah tersendiri apabila Presiden Umno Najib Razak ‘ketakutan’ menghadapi pengaruh bekas perdana menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar berkata, cara serangan yang dilakukan oleh Najib serta pemimpin bawahannya membayangkan Mahathir, warga emas berumur 92 tahun, seolah-olah telah menjadi ‘institusi politik’ yang hebat dan memiliki aura menukar hala sokongan rakyat pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Najib (melalui ucapannya) mengejutkan seluruh rakyat Malaysia bahawa seorang warga emas berusia 92 tahun sangat digeruni (Umno). Kegerunan Najib seolah-olah warga emas ini mempunyai pengaruh besar dan boleh menyebabkan Umno hilang kuasa pada PRU14 nanti.
“Serangan demi serangan terhadap warga emas ini mengisi sebahagian dari ucapan dasar Najib sebagai Presiden Umno.
“Persidangan Umno kali ini juga mencipta sejarah baru apabila buat julung kalinya PAS terlepas dari serangan, sebaliknya PAS buat pertama kali menerima pujian dari Presiden Umno.
“Kini musuh baharu Najib ialah Tun Mahathir dan parti-parti Pembangkang yang lain, kecuali PAS. Kata Najib, warga emas ini (Mahathir) adalah antara empat cabaran utama Umno,” kata Mahfuz dalam satu kenyataan.
Menurut Mahfuz lagi, belum pernah terjadi dalam sejarah, Umno menggeruni seorang warga emas dari Pekan Rabu Alor Setar dengan maki hamun akibat daripada keberanian warga emas itu menolak Najib kerana kebusukan rasuah 1MDB.
“Najib telah memberitahu seluruh dunia bahawa warga emas itu adalah ancaman pada Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan yang berkuasa.
“Ucapan Najib itu dengan sendiri memperakui Umno sedang mengalami kelumpuhan dan kereputan. Sebaliknya Parti Bersatu yang diasaskan oleh Tun Mahathir kini bersama komponen pembangkang yang lain adalah satu ‘Grand Coalition’ yang mampu mencabar Umno BN dan mengambil alih kuasa selepas PRU14 nanti,” katanya.