Pengarah komunikasi strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Abdul Rahman Dahlan harus meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana mempromosikan “berita palsu”, susulan video pengakuan bekas wartawan Sarawak dibuktikan palsu oleh Sarawak Report, kata setiausaha agung PKR Rafizi Ramli hari ini.
Menggesa siasatan dijalankan terhadap laman pemberi maklumat itu, Rahman dalam kenyataannya merujuk kepada video “pengakuan” Lester Melanyi yang diubahsuai Sarawak Report dan dokumen palsu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Lester juga berkata, beberapa pemimpin pembangkang, termasuk Rafizi, bekerjasama dengan Sarawak Report dalam melakukan pengubahsuaian yang didakwa itu.
Bagaimanapun, rujukan Lester kepada seorang pakar grafik web yang didakwa bekerja untuk Sarawak Report dibuktikan palsu oleh laman tersebut, yang mendedahkan individu dalam gambar itu sebenarnya seorang pengurus bas di United Kingdom.
“Ia juga menjadi satu tamparan dan pengajaran kepada menteri itu yang tampil ke hadapan kononnya mendedahkan perkara ini,” kata Rafizi.
Sarawak Report mendapati gambar yang dikatakan pereka web itu diambil daripada satu laman web lain mengenai sesuatu perkara yang tiada kaitan.
Laman web itu juga memperoleh maklum balas daripada syarikat bas itu yang mengatakan pekerjanya tiada kaitan dengan Malaysia, menyifatkan ia satu kes tersilap identiti.
Rafizi menggesa pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat Melanyi dan mendedahkan individu di sebalik video pengakuan itu.
Rafizi berkata, video itu “mengganggu” siasatan yang sedang dijalankan terhadap syarikat pelaburan milik negara itu.
Melanyi, bekas editor Sarawak Tribune yang kini dihentikan penerbitannya berkata, beliau pernah bekerja dengan Sarawak Report di London.
Perkara itu dipertikaikan pengarang dan pengasas laman web itu, Clare Rewcastle-Brown, yang mengatakan Melanyi tidak pernah menulis “sepatah perkataan” pun untuk portalnya, sebaliknya hanya pernah bekerja sekejap dengan Radio Free Sarawak, juga di London.
Melanyi menamakan Rafizi, bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua sebagai antara mereka yang berkonspirasi dalam memalsukan dokumen sebagai sebahagian “skim” untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang turut berdepan siasatan berhubung skandal 1MDB itu.
Pua berkata, beliau bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Melanyi, sementara kredibiliti Melanyi turut dipertikaikan menteri kanan Sarawak Tan Sri Dr James Masing.
Melanyi terpaksa berhenti dari Sarawak Tribune selepas ia menerbitkan karikatur kontroversi Nabi Muhammad pada 2006.
Tetapi, Rahman menegaskan, tuduhan Melanyi perlu diambil serius walaupun kredibiliti beliau diragui.
Bekas wartawan dari Sarawak itu merupakan individu terbaru terbabit dalam langkah Putrajaya membuktikan laporan mengenai 1MDB, yang mendakwa wujud salah laku kewangan, dibuat berdasarkan maklumat palsu.