PAS Kawasan Kuala Kangsar dimaklumkan sumber dalaman Istana Iskandariah, Kuala Kangsar bahawa sebelas orang lagi pesalah himpunan pada 6 Februari 2009 yang lalu di hadapan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar telah mendapat perkenan pengampunan daripada Seri Paduka Sultan Perak, Sultan Dr Nazrin Muizuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah sempena Bulan Ramadhan dan Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini.
Ini kerana pada 18 Mac 2015 yang lalu, Mahkamah Rayuan, Putrajaya telah memutuskan bahawa mereka semua dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM5,000 setiap seorang. Kami dimaklumkan bahawa Ahli Keluarga pesalah telah mengemukakan rayuan kepada Lembaga Pengampunan Negeri Perak agar mereka semua diberikan pengampunan telah berjaya.
Kami menjunjung kasih Kebawah Duli Tuanku Seri Paduka Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah di atas pembebasan tersebut dan merasa bersyukur semua pesalah tersebut dapat kembali ke pangkuan keluarga mereka. Semoga dengan pembebasan ini sebagai satu yang cukup bermakna juga kepada seluruh rakyat Perak dan memartabatkan Institusi DiRaja di Perak khasnya.
DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Yang DiPertua,
PAS Kawasan Kuala Kangsar.