KENYATAAN MEDIA: Lajnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Malaysia merasa cukup bimbang dengan tahap suasana terkini di Arakan, Negara Myanmar berikutan keadaan yang diperlakukan terhadap etnik Rohingya yang akan mengulangi suasana yang pernah berlaku pada 6 April 1992 di Negara Bosnia-Herzegovina di bekas jajahan Yugoslavia dahulu. Bagaimana etnik Bosnia yang beragama Islam terutamanya terkorban hampir 65 peratus daripada lebih kurang hampir 200,000 orang yang terbunuh di sana. Suasana ini adalah menjadi salah satu sejarah hitam dunia yang begitu ‘kaku’ melihat nyawa manusia begitu mudah diperlakukan begitu zalim dan ganasnya tentera Serbia bagi memastikan penghapusan etnik Bosnia dan Croat dipastikan lenyap sama sekali.
Kami mendesak semua pihak menggunakan saluran diplomasi yang mampu digunakan oleh seluruh Negara untuk mengatakan kekesalan terhadap pentadbiran Yangon yang tidak bertindak sewajarnya bagi memastikan keselamatan dan jaminan entik Rohingya dijaga sebaiknya. Kami juga mempersoalkan dimanakah sifat kemanusiaan pentadbiran Yangon dan mengharapkan Negara-negara dunia membantu etnik Rohingya yang diperlakukan begitu zalim sekali. Kami cukup sedih jika sejarah hitam di Bosnia berulang dan Arakan menjadi Bosnia kedua bagaimana usaha penghapusan entik berlaku dengan kejamnya tanpa boleh dibantu oleh dunia.
Dunia perlu sepakat mengutuk kekejaman ini dan satu amaran perlu diberikan kepada pentadbiran Yangon agar menghentikan kekerasan dan kekejaman terhadap entik Rohingya. Dunia Islam juga perlu bersuara kerana sejarah hitam Bosnia dimana Umat Islam juga menjadi sasaran kini telah berulang kembali di Arakan. Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) perlu memainkan peranan besarnya untuk menyelamatkan nyawa Umat Islam di Arakan, persidangan khas untuk etnik Rohingya perlu diadakan dan satu badan khas bagi menghulurkan bantuan dan kecemasan perlu digerakkan dengan segera!
Dalam pada itu, Pemuda PAS Malaysia baru-baru ini mengadakan kunjungan ke atas masyarakat Rohongya.
Satu mesyuarat dianjurkan bersama Majlis Ulama Rohingya Malaysia, di hadiri oleh Ust Rahimullah Hosun Timbalan Presidennya, serta AJKnya. Pemuda PAS diberi penerangan isu terkini pelarian Rohingya dan pelan penyaluran bantuan kemanusiaan ke Arakan
Pemuda PAS juga meninjau asrama anak-anak yatim Rohingya dari sudut prasarana dan kelengkapan harian mereka dan menyerahkan sumbangan orang ramai buat mangsa pelarian Rohingya di Myanmar dan Malaysia sebanyak RM20,000.
#RohingyaDihati
DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Pengerusi,
Lajnah Antarabangsa,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.