Biarpun hanya tinggal empat hari sebelum Tahun Baharu Cina, persiapan yang dilakukan oleh penganut Buddha pada tahun ini kurang meriah berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Bagi penganalisis ekonomi, Albert Kwok, beliau berpendapat masyarakat Cina kurang berbelanja tahun ini kerana mereka menunggu tarikh Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) akan diadakan tidak lama lagi.
Katanya, terdapat terlalu banyak ketidaktentuan dalam senario politik serta ekonomi negara yang mendorong kaum Cina berjimat cermat. Lebih-lebih lagi sekiranya BN kembali memerintah selepas PRU 14 dan keadaan ekonomi bertambah buruk.
“Dalam erti kata lain, dengan keadaan ekonomi kita yang telah jatuh merudum, kita harus memberi peluang kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir.
“Saya teka PRU14 akan diadakan pada 8 atau pun 15 April tahun ini,” katanya secara berseloroh.
Manakala tinjauan yang dilakukan Suara pakatan daily mendapati masyarakat Cina mengurangkan perbelanjaan untuk perayaan yang jatuh pada 28 Januari nanti.
Ramai dalam kalangan mereka mengaku masih belum membeli buah tangan untuk diagih-agihkan kepada sanak-saudara. Mereka memberitahu akan membelinya pada saat-saat akhir dengan harapan harga barang akan diturunkan.
“Terlalu banyak perbelanjaan kali ini kerana anak-anak perlu beli buku sekolah dan pakaian seragam baru, juga Cukai Tanah dan Cukai Pintu terpaksa dibayar pada permulaan tahun, selain dari bil-bil bulanan yang biasa dibayar.
“Kereta pun baru sahaja diservis bulan Disember lalu,” rungut Pauline Tan, seorang suri rumah berusia 45 tahun.
Begitu juga masyarakat Cina lain yang ditinjau, rata-rata mengeluh harga barang tahun ini lebih mahal daripada sebelumnya dan kemungkinan ekonomi menjadi tidak stabil menjelang pertengahan 2017.