Ramadan kali ini agak mencemaskan apabila memikirkan keterdesakkan rantaian kehidupan seharian.
Ayah kerap kali mengeluh memikirkan segala perbelanjaan meningkat naik sedangkan seawal tahun ini beliau bergelar pencen wajib bersara.
Apa yang dirisaukan apabila harga barang basah dapat dibeli dalam kuantiti yang semakin mengecil. Wang pencen saban tahun menunjukkan angka statik dan harga barang harian pula turun naik seperti menyertai peraduan gores dan menang.
“Mungkin bulan puasa tahun ini kita patut berbuka di masjid setiap hari,” kata ayah muram.
Emak mencelah. “Masjid menyediakan makanan untuk jemaah berbuka puasa sekiranya menerima lebihan sumbangan orang ramai yang tidak pernah putus.” Senyum emak meleret.
Tetap meriah
Kemeriahan Ramadan seperti bergerak sendirian tanpa melihat riak teruja masyarakat Islam di negara ini. Mungkin barang semakin mahal maka mereka hanya sekadar melakukan aktiviti sambutan yang bersifat sederhana tetapi penghayatan terhadap bulan penuh rahmat ini masih berada di tahap yang membanggakan.
Semalam aku bersembang dengan jiran sebelah rumah, tahun ini beliau menyambut raya dalam keadaan serba berjimat apabila dia bercadang tidak membeli pakaian raya dan memakai kembali baju raya tahun lepas. Cuma pakaian raya yang murah-murah sahaja dibelikan untuk anaknya jika mahal, kemungkinan akan memakaikan kembali anaknya dengan baju tahun lepas.
Tahun ini, tahun pertama abang sulungku bergelar sebagai orang yang mempunyai keluarga, dan isterinya berasal dari selatan tanah air. Kali ini mereka memilih untuk pulang berhari raya di rumah emak yang terletak di utara tanah air.
Semasa beliau menelefon emak mengesahkan perkara itu, sedikit keluhan dalam talian kedengaran berikutan kenaikan harga tol dan minyak yang menyebabkan segala kos pulang berhari raya semakin meningkat.
Seorang ustaz dalam kampung emak mencadangkan agar mencari asnaf yang sesuai dan tidak hanya bergantung pada Pejabat Zakat semata-mata apabila ingin membayar zakat firah .Semua ini berlaku atas dasar ketidak percayaan masyarakat terhadap institusi kerajaan semakin pudar.
Setiap tahun kutipan zakat meningkat, pelbagai cara dijalankan oleh pejabat zakat untuk mengutip dana zakat dari orang ramai. Buktinya bulan–bulan terakhir ayah berkhidmat sebagai staf kerajaan, masih ada skim potongan gaji bulanan untuk pembayaran zakat secara berkala.
“Persoalan sekarang, ke mana duit zakat itu di salurkan? Sampaikah kepada yang layak?”soal ayah suatu ketika dahulu.
Di hujung kampung terdapat beberapa penduduk yang mempunyai saiz keluarga agak besar dari segi bilangan tanggungan anak, seingat aku beberapa kali ketua keluarga itu mengisi borang zakat namun melalui ranjau birokrasi yang merumitkan pemohon, akibatnya mereka terpaksa membayar beberapa perbelanjaan diperlukan untuk melancarkan perjalanan permohonan zakat tersebut.
Kembiri ideologi
Namun melupakan semua masalah ongkos hari raya, Aidilfitri tahun ini bagi aku lebih meriah dengan emosi parti-parti politik yang mengembiri ideologi mereka bagi menghalang proses kemanusiaan berlaku.
“Mungkin kita patut baca balik Testament Politik A.P.I yang dideklarasikan oleh Ahmad Boestamam menyentuh soal percakapan keyakinan dan kepercayaan diri sendiri untuk mengubah landskap politik masyarakat yang sekian lama terbabas,” kata ayah baru-baru ini tidak puas hati dengan krisis demi krisis dalam politik negara.
“Mencari pemimpin semudah melihat minit jam tetapi untuk mencari masyarakat yang sentiasa mencari perubahan adalah rumit .Lihat saja sejarah peradaban masyarakat, yang menunjukkan sesuatu hasil perubahan bakal menghadapi masa yang sukar jika tiada kecukupan ilmu yang mendalam.
“Kadangkala sampai ke tahap pertumpahan darah apabila membuak-buak kejahilan mereka sendiri. Pokok pangkal adalah penguasaan ilmu setiap entiti masyarakat mesti meliputi berbagai disiplin. Amat penting seterusnya kita boleh melakar masyarakat yang mempunyai tahap tersendiri,” sampuk abang.
Dia meluahkan buah fikirannya tanpa diminta tetapi membuat kami faham apa yang dihadapi negara dan masyarakat Malaysia sewajarnya lebih baik daripada hanya persengketaan politik tanpa makna dan rakyat seperti kami akhirnya hidup tertekan.
“Pemimpin yang berintegriti datang daripada masyarakat yang tidak berkompromi dengan kebatilan yang melampau dan sudah pasti proses asimilasi masyarakatnya menerima ilmu sebagai wacana utama berbanding keperluan komersial ke dalam kehidupan.
“Secara ringkas pemimpin yang bersih dan berkualiti pasti datang dari masyarakat yang mempunyai cara fikir di tahap yang terbaik
“Tradisi berfikir masyarakat dunia ketiga tidak lagi releven dan sudah semestinya tak mampu menghadapi kemelut di negara ini yang sebahagian manusia sudah jauh berfikir ke hadapan.
“Harapan buat negara ini adalah keperluan kita semua melangkah membina cara fikir, visi dan matlamat baru. Seterusnya kita berusaha mencari pemimpin yang tidak mempunyai masalah otitis yang berlebihan dan paling penting menjadi pendengar terbaik untuk masyarakat yang di wakilinya,” akhiri abang.
Arif Bazli adalah penulis tetap seni di Selangorkini