Penarikan saman fitnah RM50 juta oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan terhadap Saudara Anwar Ibrahim membuktikan bahawa Ketua Umum KEADILAN itu tidak bersalah dalam tuduhan fitnah II, kata peguamnya, Latheefa Koya.
Katanya, penafian Anwar sebelum ini bahawa insiden terlarang pada 2008 itu tidak pernah berlaku antara beliau dan Saiful adalah benar.
“Kami gembira kerana ia mengesahkan lagi bahawa Anwar tidak bersalah,” katanya
Menurut Latheefa, perkara itu disampaikan peguam Saiful, Zamri Idrus kepada hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan semasa pengurusan kes 1 Jun lalu.
Katanya lagi, pengadu tidak memberi sebarang alasan menggugurkan kes tersebut atau perbincangan mengenai kos.
“Tiada sebab diberikan bagi penarikan balik itu. Hakim kemudiannya membatalkan saman itu,” katanya.
Sebelum ini, hakim telah menetapkan perbicaraan bermula pada 10 Ogos.
Jelasnya, terdahulu, Saiful meminda pengakuan yang mahkamah perlu mendapati Anwar bertanggungjawab dan membayar ganti rugi kepadanya selepas Anwar disabitkan dengan kes fitnah II.
Bagaimanapun katanya, Anwar mengambil langkah menyekat tindakan itu, menyatakan sabitannya kerana salah laku seksual tidak boleh dipercayai untuk tindakan sivil.
Pada 23 Jun tahun lepas, Saiful memfailkan ganti rugi kerana dikatakan trauma fizikal dan penderitaan yang dialaminya sejak 2008.
Beliau dikatakan dipandang rendah oleh masyarakat yang percaya dakwaan Anwar terhadapnya, dan juga dipersendakan di media sosial.
Namun, Anwar dalam pembelaannya menafikan meliwat Saiful, mengatakan dakwaan itu palsu, dan berkata Saiful tidak mempunyai sebab munasabah dalam tindakannya serta saman fitnah itu remeh, menyusahkan dan satu salah guna proses mahkamah.