Bekas Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa berkata beliau sedia dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin Pas sebaik sahaja menerima surat pertuduhan rasmi daripada parti Islam itu.
“Saya mengikuti kenyataan media Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man selaku Timbalan Presiden Pas pada hari ini berbetulan dengan Mesyuarat Bulanan Pas.
“InsyaAllah saya sedia menemui jawatankuasa disiplin parti. Saya menunggu kertas pertuduhan rasmi untuk membolehkan saya menyediakan pembelaan yang sewajarnya.
“Saya akan bertanggung jawab atas semua ucapan saya dan InsyaAllah akan mempertahankannya semasa menemui Jawatankuasa Disiplin nanti
“Pada masa yang sama saya akan menyampaikan kepada jawatankuasa disiplin nanti perkara-perkara yang bercanggah dengan dasar Pas dan Islam yang telah dilakukan oleh pihak-pihak di dalam Pas yang telah saya bangkitkan selama ini,” kata Husam dalam satu kenyataan media.
Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat PAS telah memutuskan bahawa aduan terhadap Husam akan dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti.
Beliau menegaskan demikian dalam satu sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini selepas berlangsungnya mesyuarat bulanan jawatankuasa kerja pusat parti itu.
Prosiding berkaitan dengan kes itu akan dikendalikan sepenuhnya oleh jawatankuasa tatatertib yang diketuai oleh bekas naib presiden PAS, Daeng Sanusi Daeng Mariok, katanya.
Selain itu, Husam juga menggesa agar Pas bersikap adil terhadapnya dan memberi maklum balas terhadap aduan-aduan yang dilakukannya terhadap Pas serta para pemimpinnya sebelum ini.
“Pada masa sama, suka saya mengingatkan, janji Dewan Harian Pas Pusat untuk memberikan maklum balas terhadap ‘nota cinta’ saya pada pertemuan 30 November 2015 belum lagi berlaku.
“Kepada Allah saya serahkan urusan dan kepada Allah saya bertawakkal,” sambung Husam.