Syarikat Telekomunikasi (telco) di negara ini sepatutnya menyerap Cukai Barangan dan Perkhidmatan sebanyak enam peratus ke atas kad tambah nilai yang sekarang ini dikenakan kepada pengguna, kata Naib Ketua Angkatan Muda (AMK) KEADILAN, Tan Kar Hing.
Katanya, telco sewajarnya mencontohi syarikat rokok yang menyerap nilai GST walaupun pada awal April lalu menaikkan harga rokok 50 sen sekotak. Harga kemudian diturunkan selepas April.
“Syarikat telco sepatutnya mengkaji semula harga kad nilai prabayar, kekalkan harga mengikut nilai yang tertera, ini dapat meringankan beban dan mengurangkan perbelanjaan pengguna.
“Kalau syarikat rokok, produk yang membahayakan kesihatan boleh melakukannya, mengapakah telco yang menawarkan perkhidmatan keperluan rakyat tidak boleh?
“Dalam hal ini kerajaan kena tengok secara menyeluruh kepentingan pengguna. Bukan semua rakyat menghisap rokok tetapi ramai yang gunakan kad tambah nilai prabayar. Oleh itu kepentingan rakyat mestilah diutamakan,” katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Sebelum ini, sebagai perbandingan, syarikat tembakau British American Tobacco (BAT) telah mengkaji semula harga rokok dan bersetuju menyerap cukai GST selepas menaikkannya buat sementara waktu pada April lalu.
Oleh itu, Kar Hing menggesa kerajaan agar berunding dengan syarikat telekomunikasi agar mereka menyerap caj GST sebagaimana sebelumnya, syarikat telco menyerap Cukai Jualan dan Perkhidmatan.