Pendeposit Lembaga Tabung Haji (TH) tidak seharusnya teruja dengan pengumuman bonus yang diumumkan baru-baru ini kerana situasi kewangan sebenar institusi pengendali ibadah haji itu mungkin berbeza, kata Parti Amanah Negara (Amanah).
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, TH cuba memberi gambaran kedudukan kewangan dan perniagaan yang kukuh melalui pembayaran bonus tahunan sebanyak 5% dan tambahan bonus haji 3% bagi menepis sangkaan buruk terhadap mereka.
“Amanah yakin laporan kewangan TH bagi 2015 yang bakal disediakan akan turut memberi gambaran baik mengenai perniagaannya.
“Sedangkan keadaan sebenar mungkin sebaliknya,” kata Salahuddin, pada sidang media di Ibu Pejabat Amanah di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, keuntungan dan peningkatan nilai aset TH bukanlah daripada hasil perniagaan semasa TH, sebaliknya ia daripada pelaburan lama.
Beliau berkata, perniagaan semasa TH mendatangkan pulangan jauh lebih sedikit berbanding bonus 5% yang diberikan.
“Mungkin inilah sebab istilah bonus, dan bukan dividen, diguna pakai tahun ini.
“Dividen adalah daripada keuntungan sedangkan bonus tidak semestinya daripada keuntungan, tetapi merupakan hibah, atau hadiah semata-mata,” kata Salahuddin.
Beliau berkata, keuntungan luar biasa TH diperolehi melalui penjualan aset di London apabila memperolehi sejumlah RM1.6 bilion.
Salahuddin berkata, penjualan berkenaan adalah antara beberapa pelaburan TH yang mampu memberikan pulangan melebihi 8% setahun.
“Dan apabila aset sebegini yang mampu memberikan pulangan tinggi dijual, apa akan dilakukan TH untuk masa-masa akan datang?
“Pelaburan lain, sama ada dalam hartanah atau saham tidak mungkin mampu mendatangkan hasil setinggi ini,” katanya.
“Oleh itu, dikhuatiri TH menjual ‘angsa bertelur emas’.”
Beliau berkata, dalam pertemuan Amanah dan pihak pengurusan TH baru-baru ini, institusi berkenaan mengakui sektor hartanah, perladangan, pembinaan atau pelaburan saham TH tidak mencapai purata pasaran sebanyak lebih kurang 3%.
“Perkara itu turut diakui pengurusan TH semasa pertemuan dengan kami apabila disebut sejumlah besar wang tunai berada dalam simpanan Bank Islam dan hanya mendatangkan pulangan sebanyak 3% untuk 2015,” kata Salahuddin.
Beliau berkata, penjualan aset berharga yang mendatangkan pulangan tinggi untuk pembayaran bonus adalah tindakan tidak berhemah dari sudut perniagaan.
“Tetapi ia mungkin mampu mencapai kesan yang diingini daripada sudut politik,” kata Salahuddin.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, pendeposit juga tidak seharusnya tertipu melalui pembayaran bonus tersebut.
“Jangan kita tertipu dengan pembayaran bonus dan laporan kewangan yang akan dikeluarkan bulan Mac akan datang.
“Masalah yang dibangkitkan Bank Negara Malaysia masih relevan, ia bukan sangkaan buruk, tapi masalah yang sememangnya wujud,” katanya, yang juga ahli Parlimen Shah Alam.