Ahli PKR Cabang Batu membantah tindakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap ahli parlimen Batu Tian Chua kononnya menjadi dalang dan pengatur pertemuan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dengan Jacel H Kiram di Filipina baru-baru ini.
Ketua Ranting Batu Muda PKR Batu, Rozan Azen Mat Rasip berkata, tuduhan tersebut amat melampau sifatnya dan dikeluarkan tanpa sebarang bukti sama sekali.
“Kenyataan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu dibuat seolah – olah mahu memainkan sentimen kedaulatan negara dan mengaitkan Yb Tian Chua serta Yb Nurul Izzah Anwar dengan gerakan yang dipanggil sebagai Kesultanan Sulu walaupun Nurul Izzah telah memberi penjelasan terbuka dan memohon maaf kepada ahli keluarga polis dan tentera yang terkorban dalam tragedi berkenaan.
“Selain itu, kami ahli PKR Batu yakin bahawa dakwaan liar Zahid adalah berniat jahat dan sengaja mahu menjatuhkan kredibiliti Yb Tian yang telah menunjukkan sikap lebih profesional apabila memberi tempoh waktu kepada Zahid agar menarik balik kenyataan dan tuduhan yang dibuat beliau,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Kata Rozan lagi, insiden Lahad Datu hakikatnya telah membongkar kelemahan kerajaan BN kerana sehingga kini gagal menunaikan janji untuk mengeluarkan Kertas Putih, selain tidak menjelaskan rasional mengapakah perbicaraan terhadap para penceroboh tersebut dibuat secara tertutup.
Rozan juga mengingatkan Dr Zahid mengenai isu komen Tian pada 2013 lalu yang disensasikan oleh media pro BN kononnya menghiris perasaan keluarga anggota polis yang terkorban dalam isiden tersebut, tetapi berakhir dengan Umno menarik balik kenyataan mereka kononnya Tian menghina pasukan keselamatan di mahkamah pada hari perbicaraan.
“Maka pada pandangan ahli PKR Batu, kami berpendirian Zahid dalam kenyataannya tempoh hari telah cuba membuat satu lagi pembohongan dan tuduhan melampau.
“Kami sebagai ahli akar umbi sekali gus pengundi di kawasan Parlimen Batu yakin Yb Tian dan Yb Nurul Izzah tiada apa-apa agenda yang boleh menggugat keharmonian kehidupan rakyat dan keselamatan negara dalam memenuhi jemputan majlis di Manila itu sepertimana dakwaan Zahid .
“Kami juga menyeru Dr. Ahmad Zahid agar segera menarik balik kenyataan itu dan secara terbuka memohon maaf kepada Yb Tian Chua dan Yb Nurul Izzah Anwar kerana dengan sengaja cuba membuat kecoh dan telah mencemarkan nama baik Ahli Parlimen Batu dan Ahli Lembah Pantai merangkap Naib Presiden Parti KeADILan Rakyat (PKR),” kata beliau lagi.