Kalau selama ini MBT atau kumpulan perbincangan Minda Baru Terengganu (MBT) sibuk berbincang di Whatapps sahaja, esok mereka meluaskan perbincangan ke forum terbuka pula.
Esok MBT, sebuah NGO yang sangat prihatin dengan nasib negeri Terengganu itu akan menganjurkan wacana ilmu terbuka “Dari orang Terengganu untuk orang Terengganu” pula bagi membincang tentang masa depan negeri itu.
Mereka menganjurkan forum bertajuk “Halatuju Terengganu Pasca PRU-14” dengan menjemput dua anak Terengganu yang kini terkenal di luar negeri itu.
Ahli parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Profesor Dr Mohd Nazari Ismail dari Universiti Malaya akan menjadi penal forum itu.
Wacana itu akan diadakan Sabtu 29 Oktober di sebuah hotel di Tanjung dan bakal bermula jam 9.30 pagi.
Sebelum ini, program ini menjadi kecoh apabila nama Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu dikaitkan dengan wacana ini sehingga ia terpaksa dinafikan.
Padahal ia hanya berasas sebuah poster yang dikatakan palsu.
MBT sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi tapak forum dalam Whatapps yang mengumpulkan pelbagai pihak termasuk pemimpin parti politik, bekas pegawai kanan kerajaan negeri dan juga aktivis masyarakat yang berkait dengan negeri Terengganu.
Mereka berdebat secara terbuka pelbagai isu sehingga kadang-kadang bergaduh dalam kumpulan itu.