Masyarakat India menyambut Thaipusam hari ini di kuil Sri Mahamariaman Batu Caves, Selayang. Pada tahun lalu sambutan Thaipusam di Batu caves dikunjungi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib dan diberi penghormatan berucap di balkoni bangunan pentadbir kuil. Bagaimanapun, kedatangan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim ketika itu bersama beberapa Exco dihalang dari memasuki kawasan perhimpunan penganut Hindu kerana kebetulan Najib sedang memberi ucapan. Akhirnya majlis Menteri Besar memberi sumbangan kepada masyarakat India setempat berlangsung di bawah jambatan lebuh raya MRR2 berhadapan kawasan perhimpunan Thaipusam.
Pada tahun ini kejadian sama tidak berulang kerana kehadiran Najib dan MB Selangor tidak bertembung. Bagaimanapun pembinaan replika Najib yang memakai bunga malai setinggi 30 kaki dan boleh dilihat dari jarak 1 kilometer di perkarangan kuil menarik perhatian pengkritik beliau.
Pemasangan replika walaupun tidak menyalahi kepercayaan agama namun ia mengingatkan rakyat Malaysia mengenai pemasangan replika Anwar Ibrahim dengan ketinggian yang hampir sama berhampiran Wisma Keringat, Batu Caves kira-kira 4 kilometer dari tapak sambutan Thaipusam sempena menyambut perayaan Deepavali pada 2008 lalu.
Berbeza dengan replika gergasi Najib, replika Anwar dijadikan bahan berita oleh beberapa stesen televisyen pro-BN ketika itu. Kononnya replika Anwar berunsur pemujaan dan pendewaan kepada seseorang tokoh. Sehinggakan penyokong Pakatan Rakyat tidak berani untuk membina apa-apa replika pemimpin mereka selepas itu walaupun untuk pemimpin yang bukan beragama Islam .
Persoalannya, mengapakah replika gergasi Najib tidak diungkit oleh media arus perdana. Replika itu pula dipasang di kawasan beribadat. Bayangkan jika replika Tuan Guru dibina di perkarangan masjid. Pasti stesen televisyen akan menyiarkan berita itu selama seminggu!