Bersih Sabah akan meneruskan perhimpunan yang dirancang pada 29 dan 30 Ogos di kawasan Tanjung Lipat di Kota Kinabalu, walaupun tidak mendapat lampu hijau daripada pihak berkuasa tempatan dan pihak polis.
Pengerusi Bersih Sabah Jannie Lasimbang berkata mereka merancang untuk meneruskan perhimpunan itu, yang digelar Pesta Demokrasi, di kawasan pantai popular itu, yang terletak kira-kira lima minit dari pusat bandaraya Kota Kinabalu.
Lasimbang berkata, alasan pihak polis dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk tidak membenarkan perhimpunan selama 24 jam itu diteruskan di Tanjung Lipat adalah menyedihkan dan tidak boleh diterima.
“Bersih Sabah tidak akan membenarkan hak rakyat Sabah diinjak-injak… dan ini hanya menguatkan lagi semangat kami menggunakan hak untuk berhimpun di bawah Perlembagaan .
“Kami menggesa orang ramai supaya tidak takut dengan pihak berkuasa,” kata Lasimbang.
Semalam, polis Sabah berkata perhimpunan itu tidak dapat diteruskan di Tanjung Lipat berikutan penganjur tidak mendapat kebenaran daripada DBKK untuk menggunakan kawasan Taman Awam Teluk Likas.
Lasimbang menolak sebab yang diberikan DBKK untuk tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan di Tanjung Lipat, seperti yang dimaklumkan dalam surat kepada penganjur hari ini.
Beliau berkata, alasan DBKK ialah hanya program rekreasi boleh diadakan di Taman Awam Teluk Likas, dan pihaknya tidak mahu mengganggu ketenangan pengunjung taman yang lain, serta ia akan mewujudkan kesesakan lalu lintas.
Katanya, taman itu besar dan perhimpunan itu hanya akan mengambil sebahagian kecil kawasan manakala aktiviti mereka berbentuk perayaan dan tidak bermaksud mengganggu ketenteraman awam.