Rumah itu kelihatan suram. Ketika pagar dibuka, halamannya hanya diterangi limpahan lampu dari dalam rumah.
Ia sama sekali berbeza daripada malam 8 Mac dan awal pagi 9 Mac 2008.
Ketika itu suasana di rumah dua tingkat di Bukit Segambut itu penuh dengan orang ramai.
Kebanyakannya gembira dan sebahagian lagi masih sukar untuk percaya bahawa Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Perak jatuh ke tangan Pakatan Rakyat.
Kelantan kekal bawah pentadbiran PAS.
Semalam rumah itu suram. Dan kesuraman itu semakin terasa apabila Nurul Hana Anwar menceritakan bagaimana dia mula menyusun buku Sayang Buat Papa.
“Ia sangat peribadi,” kata Nurul Hana.
Sayang Buat Papa mengumpulkan pelbagai catatan, gambar dan kolaj menceritakan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lebih daripada sekadar ahli politik.
Ketentuan Allah
Nama Anwar memang bukan asing dalam negara ini. Ketika beliau dibawa polis dari rumahnya – ketika itu di Bukit Damansara – ke Bukit Aman pada 1998, Nurul Hana baru berusia enam tahun.
“Saya tak tahu apa-apa tapi saya tahu ada sesuatu berlaku,” katanya kepada Malaysiakini.
Disebabkan insiden 17 tahun silam itu, Nurul Hana mengakui mengalami trauma. Perasaannya juga tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.
Kini 2015, bapa Nurul Hana sekali lagi dipenjara dan ia seakan-akan mengulangi insiden pada 1998 itu.
“Masih ada rasa papa hilang,” katanya.
Ditanya proses menghasilkan buku itu – yang asalnya hanya projek pembelajaran Nurul Hana – dia berkata, memang perasaannya tersentuh ketika melihat pelbagai imej dan kata-kata daripada Anwar atau mengenai bekas timbalan perdana menteri itu.
“Tidaklah hingga menitiskan air mata, tetapi tersentuh,” katanya.
Ditanya sama ada wujud perasaan dendam, Nurul Hana berkata, apa yang lebih terbuku ialah kesedihan.
“Dendam tidak. Mama beritahu, segala yang berlaku adalah ketentuan Allah. Ada rahmat di sebaliknya.
“Allah tidak akan mengenakan ujian yang tidak mampu kita tanggung,” katanya.
Masuk politik? Tidak
Nurul Hana juga berharap buku berkenaan dapat memahamkan orang ramai bahawa perjuangan yang dibawa Anwar masih berterusan walaupun jasad bekas ketua pembangkang itu kini terpenjara.
Dia juga berharap buku Sayang Buat Papa itu dapat memberi sedikit sebanyak maklumat mengenai sisi lain seorang Anwar.
Menghiasi kolaj ciptaan Nurul Hana itu, ada juga catatan ringkas dan sajak menarik yang datang daripada ilhamnya.
Ditanya sama ada dia berminat menjadi ahli politik, Nurul Hana pantas menjawab: “Tidak”.
Memang Malaysia mungkin tidak kerugian apa-apa jika dia enggan menceburi dunia politik – seperti sudah dilakukan ibunya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dan kakaknya Nurul Izzah.
Namun buku itu membayangkan akan rugi jika Nurul Hana mengalih minatnya daripada dunia seni.
Sayang Buat Papa diterbitkan Gerakbudaya Enterprise dan bakal dilancarkan oleh Sasterawan Negara Datuk A Samad Said di premis penerbit berkenaan di Petaling Jaya malam esok.
Sempena pelancaran itu buku berkenaan juga dijual pada harga diskaun.