Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah muncul dengan penyelesaian mudah mengelakkan peserta Bersih 4 ditahan polis akibat memakai baju T yang diharamkan kerajaan.
Katanya, tambah sahaja perkataan ‘4.0’ pada logo Bersih 4.
“Bagi sesiapa yang memutuskan untuk memakai, teruskan pakai baju T Bersih 4 esok,
“Cuba tambah titik kosong selepas nombor 4 pada baju T anda,” katanya dipetik malaymail online.
Komen beliau berikutan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi mengharamkan penggunaan warna kuning dengan disertai perkataan Bersih 4, menjelang perhimpunan Bersih pada 29 – 30 Ogos.
Bagaimanapun, pemerhati berpendapat tindakan mengharamkan memakai baju T Bersih tidak akan mengurangkan peserta perhimpunan. Mereka mengingatkan peristiwa Bersih 2.0 yang gagal dihalang kerajaan BN biar pun telah mendaruratkan seluruh Kuala Lumpur.
Pada 9 Julai 2011, polis menutup semua jalan masuk ke Kuala Lumpur dan menghalau setiap peserta Bersih 2.0 yang mahu melepasi sekatan jalan raya
Namun pada pukul 12.00 tengah hari, 70,000 peserta Bersih tetap bergerak masuk ke tengah ibu kota tanpa berjaya dihalangi sesiapa. Pertempuran tercetus apabila polis pencegah rusuhan meleraikan perhimpunan pada jam 1.00.
Impak pertempuran itu menyebabkan kebangkitan awam lebih meluas sehingga pilihan raya umum 2013.