Ketua Wanita Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Selangor Rajkumar Batumalai, bersama Ketua Wanita DHPP Selangor Pushpa Nagiah Vengdesa mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) bersama anggota jawatankuasa mereka.
Turut bersama-sama mereka adalah 24 ahli jawatankuasa Pemuda dan Wanita DHPP di Selangor termasuk ahli daripada beberapa kawasan seperti Kuala Selangor, Kuala Langat, Kota Raja, Subang, Shah Alam, dan Kapar.
“Kami memilih untuk bersama parti baharu ini atas pilihan kami sendiri tanpa paksaan atau pujukan mana-mana pihak.
“Kami percaya parti baharu ini lebih sesuai dan mesra dengan jiwa kami kerana pendekatannya yang jauh lebih inklusif, progresif, dan adil, bersesuaian dengan konsep rahmat untuk semua,” kata Rajkumar pada sidang medianya di Shah Alam hari ini.
Antara yang turut bersama mereka adalah seramai 500 ahli dari kawasan Kuala Selangor, 425 daripada Kota Raja, Subang (300), Shah Alam (300), Kapar (100), Hulu Selangor (300), Kuala Langat (100), dan Klang seramai 30 ahli.
Selain itu, 16 kawasan daripada 21 kawasan DHPP juga sudah dibubarkan.
“Lebih ramai ahli-ahli DHPP dari kawasan-kawasan lain akan mengikut langkah kami ini secara berperingkat memandangkan parti baharu ini memberikan keahlian penuh kepada kami,” kata Rajkumar.