Kemelut generasi pasca merdeka menghampiri kemuncak. Beberapa percubaan merombak semangat patriotisme menunjukkan reaksi balas masyarakat terhadap tragedi besar sedang berlaku tahun ini.
Ketirisan dana rakyat. Bantuan golongan miskin memerlukan terus dipersendakan dalam diam. Golongan politik sudah menunjukkan taring kekuasaan akibat pengaruh mereka semakin menipis. Bajet tahunan sudah berkurang dalam segenap aspek.
Kesempitan dan kekurangan pendapatan menyebabkan masyarakat Malaysia semakin luntur kepercayaan terhadap sistem dipimpin oleh pemerintah sekarang. Watak unsung diperlukan untuk menyelamatkan negara supaya generasi mendatang tidak berasak-asakan menyalahkan nenek moyang mereka.
Paling lemah
Kuasa politik Melayu mencapai takah paling lemah. Krisis kepercayaan sistem pentadbiran sedia ada sudah melewati batas meresahkan semua kelompok masyarakat. Nilai ringgit secara tidak sengaja menunjukkan kejatuhan tidak terduga. Kuasa pembelian rakyat sudah semakin mengecil. Kesemua kesan terbabit menjejaskan kehidupan seharian.
Pergerakkan harian semakin terbatas. Hutang negara sudah mencapai angka yang mendebarkan. Langkah berjimat cermat telah berjalan sekian lama. Namun peluang dan pertambahan nilai keperluan hidup tidak memberi peluang ramai orang untuk berjimat cermat. Fikiran mengutamakan keperluan sudah semakin lapuk.
Nilai hidup sekarang hanya sekadar memenuhi tuntutan hidup berbaki. Sebahagian keperluan tidak dapat disempurnakan dengan baik. Banyak kelompongan terpaksa di tangguhkan kerana mengutamakan perkara lebih mustahak diantara keperluan-keperluan lain.
Mengimbau kembali peranan seniman sastera berjuang bersama rakyat untuk memerdekakan tanah air yang sekian lama dibelenggu penjajah. Banyak usaha kelompok seniman khususnya gerakan sastera tanah air yang berusaha bersungguh-sungguh melalui kepercayaan seni yang dianuti. Gerakan ASAS 50 ditubuhkan sekelompok penulis sastera yang percaya tentang kebebasan harus dipimpin oleh diri sendiri dan bukan berdiri pada pihak lain.
Banyak karya berunsurkan seni untuk masyarakat di hidangkan kepada pembaca zaman tersebut. Mengembalikan kesedaran masyarakat dan menakutkan para penjajah. Sasterawan ASAS 50 bergerak merencanakan pelbagai kegiatan karya yang bernuasakan masyarakat seperti pembacaan sajak berunsurkan kecintaan tanah air.
ASAS 50
Novel-novel asimilasi semangat berapi-api. Cerpen- cerpen pendek berlatarkan suasana desa terbiar dan kesushan para penduduknya. Banyak karya mereka diharamkan penjajah kerana dianggap mendatangkan kemudaratan. Menjamin kebajikan penulis dijaga rapi di samping melawan penajajah.
Seni untuk masyarakat menjadi tautan akrab ahli ASAS 50 bergerak melewati kepumpung fikiran masyarakat menebal semangat kehambaan. Memberikan ramuan penawar dan penyegar melalui tulisan dan fikiran bermutu tinggi demi masa depan masyarakat yang diwakili oleh mereka.
Peranan generasi sastera kini harus menyegarkan kembali idea perjuangan seniman terdahulu. Menjengah masyarakat melihat kemelut sedang dihadapi meraka.
Gubahan karya dan suntikan semangat harus di suntik secepat mungkin. Gelombang kebangkitan harus dimulakan sekarang. Karya krtikan harus dilambung terus di tengah masyarakat gundah gulana ini. Olahan seni bermutu. Pertukangan kata -kata bertenaga. Semangat kemerdekaan sebenar harus difahami kebanyakan anggota masyakarat. Kebenaran dan kepalsuan harus diterjemah dalam erti pengkaryaan sebenar.
Ghairah bergerak
Masyarakat pembaca akan lebih memahami fungsi golongan sasterawan turut sama berjuang menyelongkar kebenaran yang selama ini tersasar dari landasan sebenar.
Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan Ke-58. Pembaharuan sastera ghairah bergerak. Tulisan – tulisan bertenaga akan digenggam erat. Para seniman, putera bangsa menjadi tulang belakang. Menentang dan berjuang mencari akar bangsa. Melewati lembah dan denai. Gelombak ombak dan ribut menghalang perjalanan.
Fikiran jumud harus dinyahkan selamanya dalam dunia masyarakat. Fikiran dan idea baru perlu disuntik supaya warna kehidupan serba baru akan mempertahankan negara dan bangsa tercinta ini.