Oleh Haeikal Iskandar
Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din diminta tidak memandai-mandai menentukan hukum sesuatu perkara hingga mencampuri urusan Allah swt, kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
“Itu (kafarah) antara kami dengan Allah swt. Yang lain jangan campur.
“Kami buat kafarah sebab ia terkandung dalam al-Quran. Selebihnya kami serah kepada-Nya,” katanya kepada pemberita, malam tadi.
Beliau yang meninggalkan PAS dan menyertai Parti Amanah Negara berkata demikian pada Majlis Kafarah di sini, malam tadi.
Pada majlis itu, kira-kira 50 penduduk sekitar Parlimen Shah Alam dijamu pelbagai hidangan, selain sumbangan wang tunai sebagai kafarah.
Haron Din sebelum ini dilapor, berkata tidak wujud bayar kafarah
kerana Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS sebenarnya berbaiah dengan Allah swt.
Mengulas kenyataan Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh yang meminta mereka bertaubat, Khalid berkata, ia hanya pandangan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat itu sahaja.
“Kami sudah rujuk ulama lain dan cadangan kita buat begini tak ada salahnya,” katanya.
Meskipun tidak lagi menjadi ahli PAS, Khalid berjanji untuk melaksanakan tanggungjawabnya kepada rakyat.
“Ada Ahli Parlimen (PAS) tidak tunaikan tanggungjawab walaupun tak keluar parti. Kami tunaikan tanggungjawab kami. Tidak khianat, tetap dalam landasan Islam,” kata Khalid.