Pahang bukan lagi negeri selamat buat Pas. Selepas Selangor mencatat penghijrahan ADUN Morib, Hasnul Baharuddin dan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib ke dalam Amanah, kini giliran Adun Semantan pula.
Tuan Syed Hamid Syed Mohamed, 63, (kiri) mengumumkan keluar PAS untuk menyertai Parti Amanah Negara (Amanah).
Beliau yang merupakan bekas Timbalan Pesuruhjayanya Pas Pahang berbuat begitu kerana mendapati PAS bukan lagi sebuah parti kondusif dan eksklusif buat semua peringkat masyarakat seperti yang berlaku pada muktamar PAS ke 61 lalu.
“Hala tuju politik PAS kini dilihat semakin bercelaru. Keadaan ini sudah tentu menyebabkan rakyat semakin keliru dengan objektif sebenar PAS untuk melaksanakan Islam secara syumul,” katanya pada sidang media lewat hari ini.
Turut hadir dalam majlis yang berlangsung di Rest House Temerloh itu adalah Pengerusi Amanah Pahang, ustaz Dr Hamzah Jaafar.
Syed Hamid berkata, rakyat mahukan perubahan politik yang menyeluruh melalui pakatan pembangkang, namun dalam masa yang sama PAS pula dilihat semakin memencilkan diri dalam memperjuangkan hal itu.
Katanya, beliau tidak sesekali menentang apa jua dasar Islam yang dibawa PAS tetapi keadaan politik semasa menuntut kepada ijtihad baharu bagi meneruskan perjuangan Islam melalui wadah yang baharu.