Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan di’boo’ penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berjalan keluar dari Menara Dato’ Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur petang tadi, selepas selesai menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti.
Lima minit sebelum itu, Muhyiddin yang juga timbalan presiden parti dilihat keluar dari pintu yang sama dan meninggalkan perkarangan bangunan itu dengan sorakan sokongan dan kata-kata semangat penyokongnya.
Salah seorang penyokong Muhyiddin yang enggan namanya disiarkan berkata, sorakan ‘boo’ itu kerana mereka kecewa dengan Ahmad.
“Ini sorakan kecewa, menteri GST kenalah terima asam garam politik apabila disindir.
“Mereka yang bersorak memang nakal, tetapi kami hanya sindir maka terimalah,” kata ahli Umno Johor itu kepada The Malaysian Insider.
Seorang ahli veteran Umno Kedah yang ditemui berkata sorakan kecewa itu memalukan.
“Kejadian yang memalukan, Ahmad Maslan di’boo’ dan ada yang jerit ‘menteri GST’,” katanya.
Ini bukan kali pertama Ahmad menerima sorakan sebegitu kerana Ogos lalu, beliau yang sering mengeluarkan kenyataan kontroversi pernah di’boo’ perwakilan kawasannya sendiri pada mesyuarat perwakilan Bahagian Pontian.
Ahmad yang juga timbalan ketua bahagian Pontian di’boo’ hampir 3 kali setiap kali namanya disebut dalam mesyuarat yang dirasmikan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.
Muhyiddin dalam ucapannya juga terpaksa menasihati perwakilan supaya tidak menghina wakil rakyat mereka, sebaliknya menegur secara baik.