AMANAH, DAP dan PKR negeri Johor malam tadi menyatakan iltizam untuk memikul amanah merealisasikan agenda perubahan dan merampas tampuk pemerintahan negeri dari UMNO BN menerusi penubuhan pakatan pembangkang yang baharu.
“Dengan tertubuhnya AMANAH Johor, gerak kerja bersepadu melibatkan AMANAH, PKR dan DAP dalam sebuah gabungan pembangkang yang kuat secara tidak rasmi telahpun bermula untuk Johor malam ini” ujar Aminolhuda selaku Pengerusi AMANAH Johor.
Beliau berkata sedemikian dalam sidang media yang diadakan sejurus selepas majlis pelancaran Parti Amanah Negara (AMANAH) peringkat negeri Johor di Taman Puteri Wangsa, Johor Bahru malam tadi.
Pelancaran telah disempurnakan oleh Tuan Hj Mohamad Bin Sabu, Pengerusi AMANAH Pusat dengan turut dihadiri Dato’ Saifuddin Nasution – Pengarah Pilihanraya PKR Pusat dan Ketua Parlimen DAP Sdr Lim Kit Siang.
Selain itu, turut hadir juga Sdr Liew Chin Tong – pengerusi DAP Johor dan Hj Hassan Karim – pengerusi PKR Johor
Aminolhuda berkata, ketiga-tiga gabungan parti politik pembangkang negeri Johor itu telah pun merancang untuk mengadakan mesyuarat pada 21 September 2015 nanti bagi memuktamadkan segera pembentukan pakatan pembangkang baharu untuk negeri Johor.
Menurut Liew Chin Tong pula, kerjasama politik antara DAP, PKR dan AMANAH peringkat negeri Johor berada pada tahap yang paling matang dan bakal menjadi negeri pertama membentuk pakatan pembangkang yang baharu pasca krisis Pakatan Rakyat mutakhir ini.
Selaku pengerusi PKR Johor, Hassan Karim menyatakan bahawa pendirian PKR Johor amat jelas dalam hal ini.
“Pakatan pembangkang yang baru perlu digerakkan segera tanpa teragak-agak. Seterusnya, ia perlu disusuli dengan proses perancangan strategi politik secara spesifik menuju PRU ke-14” tegas beliau.
Ketiga-tiga pimpinan AMANAH, DAP dan PKR Johor tersebut sepakat bahawa harapan rakyat yang inginkan perubahan merupakan suatu amanah yang perlu digalas bersama. Ia perlu diurus dengan serius dan pakatan baharu pembangkang di Johor perlu memulakannya dan mestilah segera diwujudkan.
Kenyataan media disahkan oleh :
HJ AMINOLHUDA HASSAN
Pengerusi AMANAH Johor
SDR LIEW CHIN TONG
Pengerusi DAP Johor
HJ HASSAN KARIM
Pengerusi PKR Johor