PKR bersetuju dengan kenyataan PAS yang kedua-dua parti itu akan bersama DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) dalam satu blok pembangkang.
Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata, mereka akan sepakat dalam bercakap tentang isu-isu nasional dan pada masa sama memperhalusi hubungan kerja di antara parti-parti itu kelak.
“Kita akan menghadapi BN bersama dalam isu-isu nasional dan juga supaya kita tidak terlalu hostile (bermusuhan) terhadap satu sama lain dan menujukan semula segalanya kepada Umno BN.
“Kita banyak crossfire (tembakan silang) dan misfire (salah tembak) di antara keempat-empat parti bukan sahaja di antara Keadilan (istilah PKR untuk dirinya) dan PAS tetapi juga di antara Keadilan dan Harapan Baru (Amanah) serta Keadilan dan DAP.
“Jadi mesej yang cuba disampaikan presiden adalah kita perlu bersama dalam isu nasional dahulu pada sewaktu kita memperhalusi hubungan kerja,” kata Rafizi kepada pemberita di perkarangan Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya petang ini.
Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebelum itu mengiyakan kenyataan PAS petang ini muafakat mereka agar kekal bersama Amanah dan DAP dalam satu blok pembangkang.
“Kita memang diterima rakyat Malaysia sebagai pembangkang,” katanya.
PAS petang ini menganggap PKR, DAP dan Amanah bersekutu bersamanya sebagai satu blok pembangkang yang menentang Barisan Nasional (BN).
Perkara itu dinyatakan Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin sewaktu ditanya wartawan selepas bertemu pimpinan PKR di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya.
“Konsensus yang kita capai hari ini adalah kita semua pembangkang. PAS pembangkang, PKR pembangkang, DAP dan Amanah juga pembangkang,” katanya kepada wartawan di perkarangan ibu pejabat PKR.
Ditanya tentang pembahagian kerusi dalam pilihan raya umum akan datang, Rafizi berkata perbincangan mereka sebelum sampai ke peringkat tersebut.
“Tak sampai ke situ lagi. Kita bincang dalam keadaan berjerebu,” katanya berjenaka.