Wawancara: Ustaz Suhardiman Mohd Lazim (SML) merupakan bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Pahang. Beliau kini adalah AJK parti Amanah Rakyat negeri Pahang merangkap Ketua Penerangan Amanah Pahang.
Wartawan Suarapakatandaily R. Ismail mewawancara beliau baru-baru ini. Ikuti kupasan beliau mengenai beza perjuangan Islam antara Amanah dan Pas.
SPD: Adakah berdosa keluar dari Pas
SML: Persoalan tersebut suka saya jawab dengan soalan juga. Beranikah kita mengkafirkan jemaah Islam yang lain? Umpamanya mengkafirkan jemaah Tabligh? Dengan kata lain adakah jemaah Tabligh atau jemaah Islam yang lain seperti Abim, Ikram, Haluan dan lain-lain itu kafir?
Jika tidak, maka jawapannya tidak berdosa kita keluar dari Pas dan menganggotai parti Islam yang lain.
SPD: Adakah perjuangan menegakkan Islam hanya hak sesebuah jemaah Islam sahaja.
SML: Memperjuangkan atau menegakkan Islam bukan hak insklusif kepada seseorang individu atau jemaah sahaja. Untuk menegakkan Islam juga bukan hanya melalui wadah politik sahaja.
Untuk menyebar dan menegakkan Islam mempunyai saluran yang sangat banyak. Cuba kita lihat sejarah penerimaan Islam di Tanah Melayu. Sejarah membuktikan bahawa penyebaran Islam di Tanah Melayu bukan melalui wadah politik, apatah lagi melalui wadah jihad atau peperangan. Dan sejarah membuktikan bahawa penyebaran Islam ke Tanah Melayu adalah melalui wadah ekonomi, iaitu melalui para pedagang Islam Arab yang berniaga di Tanah Melayu ketika itu.
Oleh itu jangan kita menyempitkan strategi dakwah atau menegakkan Islam hanya boleh dilakukan melalui semata mata wadah politik sahaja. Kalau kita lihat bahawa Islam itu tebahagi kepada akidah, syariah dan akhlak. Dan kita fokuskan kepada syariah dan syariah pula terbahagi kepada ibadah, muamalah, munakahat dan jinayah.
Kita cuba fokuskan kepada muamalah dan muamalah pula terbahagi kepada politik, ekonomi dan sosial. Dengan erti kata lain untuk menegakkan syariah boleh sama ada melalui politik, ekonomi dan sosial. Terpulang di atas kemampuan dan kesanggupan kita sahaja. Melalui politik boleh. Melalui ekonomi boleh atau melalui sosial pun boleh atau kalau kita mampu melalui ketiga-tiga sekali.
SPD: Perbezaan antara Jemaah Islam dengan Jemaah Orang Islam.
SML: Terdapat perbezaan yang ketara antara keduanya. Kita perlu faham bahawa Jemaah Islam adalah sebuah jemaah yang mempunyai kekuatan atau dominan dalam sesebuah negeri atau negara. Jemaah ini mampu mempengaruhi jemaah atau kumpulan lain untuk melaksanakan Islam. Dengan erti kata lain mereka mampu melaksana dasar walau tanpa sokongan jemaah atau kumpulan lain.
Manakala Jemaah Orang Islam pula ialah jemaah yang ditubuhkan oleh orang Islam bagi tujuan yang sama. Namun mereka tidak mampu untuk melaksanakanya tanpa mendapat sokongan dari jemaah atau kumpulan lain.
Inilah yang berlaku di Malaysia sekarang ini. Sebagai contoh Pas mahu melaksanakan Hudud. Tetapi Pas tidak mungkin mampu melaksanakannya tanpa sokongan pihak lain. Ini kerana sistem di negara kita mengamalkan demokrasi.
Demokrasi memerlukan suara ramai. Dengan penjelasan ini dapat kita ertikan bahawa Pas juga sebenarnya adalah Jemaah Orang Islam dan belum sampai ke tahap Jemaah Islam. Seperti juga ABIM, Ikram dan lain-lain.
SPD: Perbezaan perjuangan Islam Pas dan Amanah.
SML: Tiada perbezaan perjuangan antara keduanya. Kalau ada, perbezaannya hanyalah pendekatan dan strategi.
Strategi Amanah adalah dinamik dan semasa. Meraikan berbagai pendapat dan pandangan. Meraikan pendekatan dan ia adalah dinamik. Islam itu dinamik.
SPD: Sebab ketara peralihan sokongan terhadap Amanah
SML: Kita tidak menafikan bahawa dasar Pas adalah Islam. Namun dengan hanya semata-mata kita mengaku dasar kita adalah Islam tanpa disertai dengan akhlak dan bicara serta pergaulan Islam, tidak mungkin kita akan menempa kejayaan yang diharapkan.
Oleh itu pada pandangan saya berlakunya peralihan sokongan yang sangat ketara sama ada ahli Pas atau bukan kepada Amanah. Ia adalah kerana strategi dakwah dan akhlak pemimpinya. Kita lihat bagaimana tutur kata pemimpim Pas. Bagaimana cara kehidupan pemimpin Pas. Bagaimana pergaulan pemimpian Pas. Adakah mereka ‘Walk the talk’?
Saya diajar oleh ulama Pas dalam majlis tarbiah mengatakan bahawa jika musuh atau orang kafir mengata atau mencaci kita, jangan dibalas dengan nista. Sebaliknya ikutlah sirah rasul. Berlembut dengan mereka. Diberi berbagai contoh bagaimana nabi menghadapi halangan kaum kafir dengan berbagai cacian dan ancaman fizikal. Namun nabi membalasnya dengan kebaikan dan kelembutan.
Hakikatnya adakah pemimpin Pas begitu bila berhadapan dengan musuh. Kita dapati tidak, bahkan diancam pula mereka dengan siku dan lutut, dicaci dengan berbagai perkataan seperti ‘barua’, ‘jebon’, ‘anjing’ bahkan ‘babi’.
Kita lihat cara hidup pula. Mereka mengajar nabi hidup cara bersederhana, tiada harta dan bebagai lagi, walau nabi itu pemimpin bahkan ketua agama. Tapi apa yang diucap sama ada dalam majlis tarbiah, usrah, kuliah atau ceramah jauh dari apa yang semestinya.
Mereka minta supaya sederhana, tapi mereka hidup dengan penuh kemewahan dan kesenangan. Untuk diperkatakan sebab-sebab (berhijrah ke Amanah) terlalu banyak. Cukuplah sebahagian sahaja yang kita bincangkan dan mungkin inilah sebabnya ramai beralih kepada Amanah atau parti-parti lain yang lebih dinamik.
Profail:
Suhardiman Mohd Lazim merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda (B.A) Syariah – (Universiti Malaya) dan Ijazah Sarjana Sains (M.Sc) (HRD) – (Unimas). Beliau bertugas sebagai guru di SMK, Pensyarah dan Pegawai Pengambilan di Kolej Komuniti Mentakab, Pahang.
Beliau kini dilantik sebagai Ketua Penyelaras Amanah Temerloh serta Ketua Strategi dan Komunikasi Amanah Pahang