Tragedi tanah runtuh yang menimbus sebuah rumah anak yatim di Hulu Langat, Selangor telah mengundang rasa terkilan pelbagai pihak apabila sumbangan dan pertolongan yang dihulurkan oleh parti PAS dan sukarelawannya tidak dihargai dan diiktiraf oleh kerajaan. Media massa juga menutup sama sekali pengorbanan 250 sukarelawan Unit Amal PAS yang mula-mula tiba ke tempat kejadian dan menyelamatkan beberapa orang mangsa.
Menurut ahli parlimen Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat tindakan media massa tempatan memperbesar-besarkan kunjungan menteri BN dan ADUN Umno adalah keterlaluan sedangkan di tempat kejadian bencana sepatutnya semua pihak diberi liputan secara saksama. Sikap polis dan bomba yang mengeluarkan taklimat tanpa menyebut sumbangan kesemua pihak yang terlibat juga dikecam kerana mencampur-adukkan sentimen politik di atas tragedi yang berlaku.
“Dari segi bantuan awal penyelaras DUN Dusun Tua, Mohamad Jam Sulong yang mula-mula tiba ke tempat kejadian, bersamanya adalah sekumpulan Unit Amal PAS. Mereka tiba pada petang hari kejadian.
“Pasukan bomba yang tiba kemudian merasakan bantuan telah agak baik diberikan kepada mangsa oleh itu mereka tidak menurunkan peralatan berat di tempat runtuhan. Bomba hanya menggunakan tangan dalam operasi mencari dan menyelamat. Sahabat kita yang bekerja meratakan tanah di lokasi berhampiran telah membawa 2 jengkaut bagi menggali sisa runtuhan.
“Kita telah mengeluarkan lebih kurang 600 lori tanah dan batu besar. Kerjasama semua yang terlibat cukup baik. Bagaimanapun dalam taklimat polis dan bomba, 250 orang anggota Briget Amal PAS ini tidak disebut langsung terbabit membantu operasi menyelamat itu. Begitu juga pengkebumian pada hari Ahad diuruskan juga oleh Unit Amal
“Apa yang kami kesalkan selepas banyak mangsa dikeluarkan, maka pemimpin Umno datang ke tempat kejadian dan TV3 meminta komen mereka, seolah-olah operasi itu dilakukan mereka. Sedangkan Jabatan Kemajuan Masyarakat yang memantau rumah anak yatim pun hanya tiba dengan 12 anggota sahaja,” sinis Che Rosli.
Katanya lagi kerajaan Pulau Pinang dan Selangor lebih cepat bertindak memberi bantuan daripada Kerajaan Pusat yang lebih banyak pemimpinnya mengeluarkan kenyataan retorik di media massa
“Kerajaan Pulau Pinang dengan mewakilkan Mohammad Sabu (calon Timbalan Presiden PAS) telah memberi bantuan sebanyak RM25,000, kerajaan selangor RM100,000, bantuan dari Menteri Besar RM1,000 setiap seorang.
“Apa yang menjadi masalah kita sekarang ialah kerajaan mula cuba mengetatkan operasi pusat-pusat seperti ini dengan alasan ia tidak didaftarkan kepada Kerajaan Pusat. Di Hulu Langat sahaja ada 10 sekolah tahfiz yang mengajar ilmu agama. Kini sekolah itu sudah mula dihubungi oleh agensi kerajaan pusat. Kita khuatir JKM akan mula menyekat perkembangan sekolah tersebut selepas ini sebagaimana yang dilakukan kepada Sekolah Agama Rakyat dahulu dengan menggunakan pelbagai alasan,” katanya.
Dalam sidang media itu juga PAS melancarkan tabung kutipan derma mangsa tanah runtuh Ulu Langat dengan kerjasama akhbar Harakah. Borang sumbangan boleh didapati di akhbar Harakah versi cetak mahu pun versi on line di internet.
Tragedi tanah runtuh di rumah anak yatim Ulu Langat telah meragut nyawa 16 orang, mencederakan 9 orang serta meranapkan sama sekali sebuah rumah anak yatim dua tingkat di lereng bukit setinggi 30 kaki.