Sambutan ulangtahun hari pembentukan negara tidak sepatutnya dicemari perarakan atau perhimpunan yang boleh dianggap bersifat perkauman, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulas perhimpunan baju merah yang dijadualkan berlangsung pada Hari Malaysia 16 September ini.
Timbalan presiden Umno itu berkata, mereka yang benar-benar hendak memperjuangkan maruah Melayu harus menggunakan saluran yang betul melalui parti itu yang menerajui kerajaan, bukan dengan cara membangkitkan sentimen perkauman.
“Janganlah pula Hari Malaysia disambut dengan perarakan atau perhimpunan yang boleh ditafsirkan sebagai berbaur perkauman walau apapun motif di sebaliknya.
“Pastinya perhimpunan yang dijadualkan pada 16 September ini mengundang pelbagai persepsi negatif masyarakat baik dari sudut objektifnya mahupun cara penganjurannya,” kata Muhyiddin dalam Perutusan Hari Malaysia beliau menerusi laman Facebook miliknya hari ini.
Pendirian beliau berbeza dengan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang masih belum mengkritik perhimpunan tersebut walaupun MIC dan MCA menyatakan bantahan secara terbuka.
Perdana menteri turut berkata, Umno tidak menghalang ahlinya menyertai perhimpunan tersebut, walaupun beliau tidak menyatakan sokongannya secara rasmi.