Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, Perhimpunan Himpunan Maruah Melayu perlu dibangunkan dan disemai dengan nilai-nilai murni keagamaan, bukan dengan sentimen perkauman sempit.
Tegasnya, Melayu ideal adalah Melayu yang Islamis, bukan Melayu yang rasis, malah Melayu Islamis adalah Melayu yang berakhlak mulia, kaya dengan rasa kasih kemanusiaan, setia menjunjung nilai ukhuwwah.
“Hari Malaysia sepatutnya disambut dan dizahirkan dengan merapatkan hubungan silaturrahim antara kaum serta menghapus semua sentimen perkauman yang wujud di negara ini. Watak orang Melayu itu menolak permusuhan, mengangkat persahabatan serta saling tolong menolong antara satu sama lain.
“Orang Melayu juga satu bangsa yang saling jujur memaafkan dan mengutamakan silaturrahim yang rapat antara ahli keluarga dan sahabat handai. Sebagai bangsa majoriti di negara ini, orang Melayu sepatutnya menjadi abang besar dalam memastikan silaturrahim antara kaum sentiasa kukuh dan erat.
“Untuk mempertahankan maruah orang Melayu, kita wajib bangun dan perangi perkauman yang sempit, perangi rasuah, selongkar skandal 1MDB, dan pulihkan integriti negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 16 September 2015, satu perhimpunan Himpunan Maruah Melayu yang dianjurkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) diadakan di kawasan Padang Merboh dan Petaling Street.
Dalam pada itu, Izzah yang juga merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai terkejut dengan penampilan dan kehadiran beberapa pimpinan Umno yang turut menyertai himpunan tersebut yang dikatakan tiada objektif sebenar dalam mempertahankan maruah melayu.
“Lebih mengejutkan apabila himpunan ini turut disertai pimpinan Umno termasuklah Timbalan Menteri Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Bung Moktar Radi, Datuk Abdul Rauf Yusof, Tan Sri Ali Rustam, Datuk Rizalman Mokhtar, Datuk Jamal Yunos, Datuk Ismail Kijo dan Datuk Seri Noh Omar.
“Malah pimpinan ini turut berada di pentas himpunan,” ujarnya.
Justeru itu, Izzah menambha bahawa tanggal 16 September 1963, sebuah kesatuan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak telah termeterai untuk membentuk sebuah negara baru yang digelar sebagai Malaysia.
“Kesatuan ini dibina atas dasar kerjasama demi membawa ketiga-tiga wilayah ini kearah kemajuan dan keharmonian sejagat, tanpa mengira kaum, agama ataupun fahaman politik. Rakyat Malaysia wajar menjiwai dengan sepenuhnya maksud Hari Malaysia ini,” jelasnya.