Penurunan nilai ringgit tidak sahaja melibatkan kenaikan barangan import tetapi juga barangan kawalan keluaran tempatan.
Tinjauan wartawan Suarapakatandaily baru-baru ini mendapati harga telur biasa 10 biji telah naik dari RM3.55 pada bulan Ogos lalu ke paras RM3.85 sekarang ini.
Harga minuman dalam kotak, mentega, keju dan lain-lain barang makanan termasuk sayur, daging dan ikan juga telah mengalami kenaikan dalam tempoh sebulan.
Beberapa orang pelanggan di kedai runcit di Kepong Baru yang diwawancara oleh penulis telah meluahkan kekecewaan mereka dengan kegagalan kerajaan BN dalam hal pengawalan harga barang.
“Kerajaan BN mungkir janji. Dulu masa kempen pilihan raya umum, mereka kata harga barang tak akan naik tetapi kini apa sudah berlaku?” tanya seorang suri rumah bernama Pauline Tan, 45 tahun.
Semua lima orang yang diwawancara berpendapat kerajaan kini sudah tiada hala tuju dan tiada idea bagaimana hendak menangani masalah harga barang naik, sama ada barang tersebut di Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) atau pun tidak.
“Di mana-mana jua, kalau kerajaan gagal membantu rakyat, maka rakyat akan sengsara dan negara tersebut akan menjadi negara gagal di mana jurang pendapatan antara yang kaya dengan yang miskin akan terus melebar,” kata seorang pemandu teksi bernama Rajan.