Tiga hari sebelum rundingan bersejarah pembentukan semula Pakatan Rakyat 2.0 yang dijadualkan berlangsung di Hotel Empire Subang Jaya, Selangor, rata-rata rakyat pelbagai bangsa melahirkan pengharapan agar kuasa pengimbang kepada kerajaan BN dapat diwujudkan semula dengan lebih mantap berbanding sebelum ini.
Wartawan Suarapakatandaliy melakukan tinjauan ke atas 20 orang secara rambang dan majoriti mereka inginkan suatu bentuk gabungan baharu politik ketika kerajaan BN semakin tenat dan bergelut dengan pelbagai intrig dalaman.
“Sejak Anwar Ibrahim dipenjarakan, pembangkang sudah jadi seperti hilang halatuju. Tetapi saya berharap bahawa gandingan parti-parti dalam Pakatan 2.0 akan bangkit semula dalam masa yang terdekat kerana kita amat perlukan suara pembangkang untuk mewakili suara rakyat,” kata seorang pemandu bas bernama Ramli berusia 46 tahun yang mengaku dirinya sebagai penyokong tegar PKR.
Seorang lagi penyokong Pakatan, penjual buah-buahan di Jalan Petaling, Kuala Lumpur yang bernama Ah Fatt berasal dari Cheras berkata bahawa suara Pakatan agak tenggelam sejak Anwar dipenjarakan tetapi ada harapan baru untuk bangkit semula jika semua parti pembangkang bertekad untuk berkerjasama.
“Semua parti-parti pembangkang harus bersatu dan berusaha untuk mengalahkan BN. Pergaduhan yang timbul dari perbezaan pendapat tidak berbaloi dan hanya merugikan Pakatan dan rakyat,” ujar Ah Fatt.
Seorang pemandu teksi bernama Raju yang mengaku dirinya sebagai penyokong DAP berkata bahawa polisi pentadbiran BN seperti Cukai Barangan Dan Perkhidmatan (GST) yang dilancarkan pada 1 April lalu memang membebankan rakyat tetapi BN tetap akan memerintah selagi pembangkang tidak bersatu.
Rata-rata penyokong Pakatan yang diwawancara berharap Pakatan 2.0 akan menerajui perubahan masa hadapan dan mengambil alih kerajaan Malaysia selepas pilihan raya umum ke 14.
“Jangan berlengah-lengah demi perjuangan untuk rakyat,” tambah Raju.