(blog: Shahbudin.com)
Pertanyaan paling banyak diajukan mengenai himpunan baju merah di Padang Merbok petang semalam itu berapakah angka sebenar jumlah peserta yang menghadirinya?
Ahli Parlimen Ketereh, Annuar Musa mengumumkan kehadiran ialah 250 ribu peserta.
Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Noh Omar mengatakan kehadiran peserta seramai 200 ribu orang.
Persatuan Silat Kebangsaan atau Pesaka juga mengatakan kehadiran ialah 200 ribu orang.
Presiden Persatuan Veteran Tentera, Ali Baharom atau Ali Tinju menyatakan kehadiran berjumlah 500 ribu orang.
Seorang jurucakap di ibu pejabat UMNO pula menganggarkan kehadiran sekurang-kurangnya 150 ribu orang.
Jadi, mana satu yang betul?
Sebelum itu, harus disedari bahawa Padang Merbok tidaklah sebesar mana keluasannya. Ia mungkin sama atau lebih besar sedikit daripada saiz sebuah padang bolasepak saja. Kawasan jajaran atau tepi padangnya juga tidak seberapa.
Seorang rakan yang pernah bekerja di DBKL memberitahu, muatan Padang Merbok yang sebenar adalah antara 40 hingga 45 ribu orang saja, itu pun jika disusun padat berhimpit-himpit lebih kurang macam ikan dalam tin sardin.
Saya juga menghubungi dua tiga rakan yang turut hadir di Padang Merbok dan masing-masing memberitahu jumlah peserta antara 50 ribu hingga 70 ribu orang ramainya.
Saya tidak lupa menghubungi seorang wartawan yang bertugas di Padang Merbok dan diberitahu kehadiran peserta adalah antara 40 ribu hingga 45 ribu orang saja.
Wartawan tersebut juga memberitahu, berdasarkan perbualannya dengan seorang anggota polis yang bertugas, beliau dimaklumkan angka kehadiran berdasarkan jangkaan pasukan keselamatan adalah di bawah 50 ribu orang.
Angka rasmi polis Kuala Lumpur yang dikeluarkan lewat malam tadi menyebut kehadiran baju merah ialah 35 ribu.
Maka, di mana datangnya angka 500 ribu, 250 ribu, 200 ribu dan 150 ribu itu?
Katalah kita ambil angka paling tinggi iaitu 70 ribu orang sebagaimana yang diberi oleh salah seorang rakan saya tadi, ianya bukan saja jauh lebih kecil daripada kehadiran 500 ribu dalam Bersih 4, malah tidak melebihi pun jumlah penonton bolasepak di Stadium Bukit Jalil untuk menonton aksi Safee Sali, Safiq Rahim, Apek dan lain-lain pemain kebangsaan yang biasanya sekitar 100 ribu orang.
Maknanya, himpunan baju merah yang tujuan besarnya ialah untuk menyokong dan mempertahankan Najib tidaklah sehebat mana kejayaannya. Menandingi jumlah penonton bolasepak pun tak terdaya.
Itu pun kehadiran dalam himpunan baju merah ini rata-ratanya diangkut entah dari mana-mana datangnya. Tidak seperti Bersih 4 yang mana kehadiran peserta adalah secara sukarela dan kerana gerak hati, di sepanjang jalan berhampiran Padang Merbok, Masjid WP, Masjid Negara dan PWTC, sejak pagi tadi penuh dengan beratus buah bas daripada pelbagai negeri.
Ini bermakna kehadiran peserta adalah kerana diangkut, dihadiahkan baju T percuma, diberi makan dan sedikit elaun atau wang poket. Dalam Bersih 4 tidak terlihat walau sebiji bas sewa atau bas sekolah pun berhampiran Dataran Merdeka.
Sesetengahnya pula, terutama makcik-makcik Felda, mungkin tidak dimaklumkan pun tujuan kedatangan mereka ialah untuk menghadiri himpunan baju merah, sebaliknya hanya diberitahu mengenai lawatan singkat atau jalan-jalan ke Kuala Lumpur saja.
Tetapi kepada penganjur, orang-orang tertentu yang berucap berapi-api di atas pentas atau mereka yang dapat bercakap terus dengan Najib selepas ini, kehadiran dalam himpunan baju merah ini sudah memadai untuk dibuat geli-geli atau bahan melobi bagi mengkhayalkan Perdana Menteri.
Sama ada jumlahnya tidak dapat menandingi kehadiran Bersih 4, lebih kecil daripada penonton bolasepak, tidak memadai dengan jumlah ahli UMNO seramai 3 juta atau sebagainya, tidaklah penting bagi mereka.
Sebab itu lain pengampu lain angkanya. Ada yang 500 ribu, 250 ribu, 200 ribu dan 150 ribu.
Yang penting ialah telinga Najib dapat ditiupkan sehingga geli dengan nyanyian lagu syurga dan jumlah kehadiran serta semangat para peserta himpunan akan digambarkan seolah-olah sudah memadai untuk membuatkannya terus bertahan di Seri Perdana sehingga bila-bila.
Kemudian akan disusulilah dengan mengajukan permintaan atau mengharapkan Perdana Menteri memberi apa-apa saguhati. Yang timbalan menteri mengharapkan jadi menteri, yang ahli parlimen atau bekas menteri mendambakan dilantik semula atau dijadikan pengerusi mana-mana agensi.
Ketua UMNO bahagian pula mengharapkan dilantik senator, diberi projek, permit dan sebagainya.
Pengerusi NGO-NGO pula tentunya berharap mendapat bantuan kewangan atau diberi projek segera untuk memudahkan terus bergerak dan bersuara.
Meriahlah Najib selepas ini dikunjungi dan dicium tangannya oleh mereka yang berhajat tadi. Inilah masanya menahan lukah di pergentingan dan mengambil kesempatan di ketika Najib dalam kesempitan.
Habis, orang-orang Melayu dapat apa melalui himpunan baju merah ini? Apakah semua 15 tuntutan yang diminta akan dipenuhi oleh kerajaan?
Jawapannya, Melayu tidak dapat apa-apa dan tiada tuntutan yang akan diambil serius oleh kerajaan.
Malah disebabkan api perkauman yang ditiupkan melalui himpunan baju merah ini akan menyebabkan Najib terpaksa mengeluarkan macam-macam belanja, peruntukan dan skim kemudahan kepada pelbagai kelompok pengundi bukan Melayu dengan harapan mereka terus bersama kerajaan dalam pilihanraya akan datang.
Itulah gaya politik Najib selama ini