Pemuda Amanah Nasional (Aman) Parti Amanah Negara Negeri Perak melahirkan rasa gembira dengan hasil yang diperoleh daripada Persidangan Meja Bulat, 22 September lalu.
Hal itu dinyatakan oleh Ketua Pemuda Amanah Nasional (Aman) Negeri Perak Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar. Katanya, keputusan menubuhkan Pakatan Harapan sangat dinanti-nantikan oleh masyarakat, khususnya anak muda.
“Hasil yang dicapai secara tuntas ini membuktikan parti pembangkang iaitu Amanah, PKR dan DAP sangat merasa tanggungjawab meneruskan harapan rakyat untuk melahirkan Malaysia yang lebih baik.
“Walaupun PAS tidak hadir di persidangan dan tidak mahu bersama dalam pakatan baharu ini, namun kami sangat menghormati keputusan tersebut,” ujarnya.
Kata beliau lagi, Aman Perak sangat komited untuk menggerakkan Pakatan Harapan secara lebih aktif bagi menarik sokongan serta keyakinan rakyat menjelangan pilihanraya umum yang akan datang.
“Kami akan mengadakan perbincangan dan pertemuan secepat mungkin dengan rakan komponen iaitu Angkatan Muda PKR dan Dapsy untuk membentuk jawatankuasa seterusnya berbincang berkaitan hala tuju bersama.
“Kami sangat yakin kerjasama ini lebih kuat dan kukuh berbanding gabungan pakatan sebelum ini.
“Kami sebagai sayap pemuda akan memainkan peranan yang sangat penting bagi memastikan Pakatan Harapan menjadi pilihan rakyat Malaysia!” katanya.