KEADILAN, DAP dan AMANAH negeri Johor menyokong penuh keputusan yang telah diumumkan secara bersama oleh ketiga-tiga pimpinan tertinggi parti iaitu Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail, Sdr Lim Kit Siang dan Tuan Hj Mohamad Sabu atas pelancaran Pakatan Harapan.
Menurut ketiga-tiga parti pelancaran PH adalah jawapan kepada vakum politik yang melanda negara sejak Pakatan Rakyat berakhir pada Jun lalu.
“Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Dato’ Seri Wan Azizah yang telah mengambil inisiatif menyatukan parti-parti pembangkang dalam satu pasukan untuk berhadapan UMNO BN.
“DAP Johor pada 20 Jun 2015 telah bersetuju untuk bergerak bersama Gerakan Harapan Baru. Pada 26 Julai 2015, KEADILAN Johor telah menyatakan keterbukaan untuk bersama dengan DAP dan Gerakan Harapan Baru bagi gerak kerja di Johor. Manakala pada 11 September 2015 yang lalu pula, ketiga-tiga pimpinan negeri KEADILAN, DAP dan AMANAH Johor telah menyatakan iltizam bergerak kerja bersama dalam satu pasukan, kata mereka dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, KEADILAN, DAP dan AMANAH Johor turut menyambut baik langkah Pakatan Harapan di peringkat pusat yang telah mengumumkan perwujudan Jawatankuasa Khas diwakili oleh Setiausaha Agung dan wakil dari setiap parti dan Johor akan menanti pengarahan selanjutnya.
Sehubungan itu, mesyuarat pada 22 September peringkat negeri Johor juga bersetuju dengan perancangan satu program bersama di Johor pada 9 Oktober 2015 dan bakal menjemput pimpinan-pimpinan pusat dari ketiga-tiga parti.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Hj Aminolhuda Hassan Amanah Johor; Liew Chin Tong DAP Johor dan Jimmy Puah PKR Johor.