Hampir genap setahun Suara Keadilan, media rasmi Parti Keadilan Rakyat menyiarkan tajuk muka depan ‘Felda Bankrap’ yang menggemparkan negara Ogos tahun lalu . Memang Felda tidak bankrap kerana ia badan berkanun yang akan diselamatkan oleh kerajaan jika mengalami masalah kewangan. Di atas kesalahan kecil itu Suara Keadilan dibelasah teruk oleh Kementerian Dalam Negeri yang diterajui Hishamuddin Hussein, sepupu PM Najib Razak akibat memalukan pengurusan Felda. Demi membela ‘maruah’ Felda yang menjadi anak emas Najib, Suara Keadilan digantung permit penerbitannya sehingga ke hari ini.
Namun kebenaran akhirnya terserlah juga dan Felda tidak lagi dapat menutup masalah kewangannya. Tidak kira bagaimana Datuk Ahmad Maslan membela Felda bersilat kata-kata di Parlimen memberi alasan kedudukan tunai Felda merosot daripada RM4.08 bilion pada 2004 kepada RM1.35 bilion pada 2009 kerana melakukan beberapa projek untuk keperluan peneroka, kini terbongkar rahsia kedudukan kewangan agensi itu yang meminjam sejumlah RM6 bilion daripada KWSP.
Pinjaman yang amat besar itu mengejutkan kebanyakan warga Felda kerana mereka akan menanggung hutang yang amat besar. Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman ketika mendedahkan perkara berkenaan berkata semua itu berlaku kerana Felda boros berbelanja dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Isu kemerosotan rizab Felda belum reda kini timbul isu baru mendakwa Felda telah meminjam daripada KWSP sebanyak RM6 bilion. Dakwaan yang ANAK terima jika benar adalah sangat memeranjatkan.
“Saya mendapat maklumat apabila diminta peruntukan untuk membuat beberapa program, peruntukan tidak diluluskan. Maklumat dari jawatankuasa penerangan menyebut Felda telah meminjam dari KWSP. Saya memperolehi minit mesyuarat yang menyebutkan secara jelas perkara itu
“Untuk apa wang RM6 bilion itu dipinjam dan bagi tujuan apa? Kerajaan mesti membuat penjelasan segera kerana ia memberi implikasi yang sangat buruk kepada pengurusan Felda,” katanya sambil menunjukkan salinan minit mesyuarat tersebut kepada pemberita dalam sidang media baru-baru ini.
Felda sebelum ini memberi alasan kemerostan kewangannya disebabkan beberapa kos yang tidak boleh dielak dan terpaksa ditanggung agensi itu dalam pengembangan perniagaannya seperti RM2 bilion pembangunan taman semula, RM603 juta untuk pinjaman rumah, RM253 juta tabung kemiskinan Sabah dan RM662 juta untuk bangunan baru Felda. Namun para pengkritik mendakwa alasan itu tidak kukuh kerana kos tanam semula tidak melibatkan rizab Felda sebaliknya wang peneroka dipotong dari hasil tuaian buah sawit; begitu juga bangunan baru Felda yang tidak sepatutnya terlalu bermewah kerana agensi itu hanya berurusan dengan rakyat berpendapatan rendah bukannya dengan syarikat kewangan gergasi dunia.
Manakala Mazlan mengecam Felda kerana pelaburan yang membazir serta bukan dalam pengkhususan perniagaan agensi itu serta beberapa pemborosan lain yang tidak melambangkan Felda pembela masyarakat peneroka yang miskin.
“Di zaman Najib Tun Razak menerajui Felda nampaknya kawalan kewangan agensi itu sangat diragui dan pemborosan berlaku secara keterlaluan. Mengapa Felda melabur di dalam syarikat Twin Rivers Technology Us Inc pada 2007 sejumlah RM270 juta. Apakah manfaatnya?
“Felda juga melalui Felda Global Ventures Sdn Bhd telah melabur sebanyak RM500 juta di Cincinnati dan Boston, Amerika Syarikat tanpa kita tahu apakah pulangannya?. Agensi itu membayar faedah pesaraan kepada Tan Sri Yusof Nor sejumlah RM84,923. Saya tidak mahu panjangkan isu ini jika menteri yang menjaga Felda mengakui jumlah itu tetapi beliau berdalih oleh itu saya dedahkan jumlah sebenar faedah persaraan yang diterima Yusof.
“Felda juga membayar elaun Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah berjuta ringgit setiap tahun. Selain itu dana Felda telah disalahgunakan bagi menaja kempen pilihanraya kecil atas nama mesra rakyat di parlimen Hulu Selangor, DUN Tenang dan DUN Kerdau yang menelan belanja jutaan ringgit,” ujarnya.
Mazlan turut mempersoalkan status anak-anak peneroka yang belajar di Malaysia Airlines Engeneering Training Centre dalam kejuruteraan kapalterbang tetapi dalam kos yang berkali ganda mahal daripada jurusan sama di tempat lain
“Walaupun peluang belajar kejuruteraan kapalterbang dialu-alukan, tetapi ia mesti telus. Felda perlu menjawab soalan berikut; berapakah kos sebenar untuk seorang pelajar? Apakah jenis lesen yang mereka dapat, apakah kos yang dibayar Felda terlalu mahal? Dan setakat manakah pelajar itu akan mendapat pentaulihan untuk pergi lebih jauh?
“Adalah malang Felda yang diasaskan oleh Tun Razak untuk mengangkat martabat orang Melayu kini berdepan dengan krisis keyakinan. Keadaan bertambah buruk apabila Isa Samad dilantik menggantikan Yusuf Nor.
“Beliau mengambil langkah yang sangat silap dengan menyerang kakitangan Felda yang menyokong Pakatan Rakyat, menghentam peneroka yang mengurus sendiri kebun mereka serta memperbanyak program bersifat politik BN di kawasan Felda.
“Felda mesti diselamatkan daripada mahluk perosak yang sedang mengagihkan projek berbilion ringgit kepada kroni,” kecam Mazlan.
Dalam sidang media yang sama Mazlan mengumumkan beliau menerima pencalonan untuk jawatan Naib Presiden PAS dalam Muktamar akan datang pada bulan Jun, namun beliau hanya menerima untuk bertanding Ahli Jawatankuasa kerja PAS Pusat sahaja demi menumpukan sepenuh masa dalam membela masalah peneroka Felda serta mendedahkan penyelewengan Risda serta Felcra pada masa hadapan