Naib Presiden PKR Chua Tian Chang menggesa semua pihak agar menghentikan spekulasi mendakwa Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak dijemput menyertai Pakatan Harapan kerana prinsip parti itu yang bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Chua yang lebih dikenali sebagai Tian Chua, PKR sebelum ini pasti tidak akan membenarkan parti itu bertanding menggunakan logo mereka dalam pilihan raya umum jika PSM menyimpang daripada Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan.
“Saya berharap sahabat dan seteru menghentikan spekulasi yang prinsip dan visi PSM tidak sepadan dengan Perlembagaan. Kita mungkin tidak bersetuju dengan ideologi parti, namun kita perlu mengakui PSM mempunyai hak yang sah menjadi sebahagian daripada sistem demokrasi berparlimen,” kata ahli Parlimen Batu itu dalam kenyataan hari ini.
Menurut Chua, jemputan menyertai sidang meja bulat pembentukan Pakatan Harapan baru-baru ini adalah bergantung kepada budi bicara ketua pembangkang.
Namun jelasnya, walaupun PSM tidak dijemput, itu tidak bererti mereka dipinggirkan terus daripada Pakatan Harapan.
“Proses ini masih di peringkat awal dan lebih banyak perbincangan susulan akan dilaksanakan sehingga kita mencapai matlamat akhir kita iaitu menyatukan semua parti dengan objektif yang sama.
Chua turut menzahirkan rasa kesalnya dengan persepsi tidak tepat terhadap PSM susulan perbincangan meja bulat Pakatan Harapan baru-baru ini.
“PSM adalah sekutu Pakatan Rakyat yang setia dan dedikasi mereka terhadap perjuangan amat dipandang tinggi di kalangan aktivis politik dan masyarakat tertindas.
“Sebagai sahabat, saya kesal dengan gambaran negatif terhadap PSM. Tidak hairanlah pemimpin-pemimpin PSM tersinggung dengan kenyataan-kenyataan ini,” katanya.
Semalam PSM dilaporkan berang dengan tindakan dua ahli Parlimen Pakatan Harapan yang didakwa berbohong berkenaan alasan parti itu tidak dijemput menyertai gabungan baharu pembangkang.
Bekas setiausaha agung PSM, S Arutchelvan berkata Khalid Samad dan Ong Kian Ming dalam laporan Malaysiakini mendakwa partinya kekal tidak dijemput sejak pembentukan Pakatan Rakyat lagi kerana mereka tidak bersetuju dengan Perkara 153 yang diangkat dalam Dasar Bersama dahulu.
Menurut Arutchelvan, perkara itu tidak benar sama sekali malahan PSM dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 secara terang-terangan mengangkat manifesto Pakatan Rakyat dan Buku Jingga PKR.